Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan e-hailing maut dalam insiden apabila motosikal yang ditunggangnya terlanggar lubang jalan.

Kejadian berlaku di Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara berhampiran Pusat Beli Belah The Curve Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.15 tengahari tadi.

Semasa insiden itu, mangsa, Hew Yoong Le berusia 31 tahun berasal dari Kampung Chempaka itu sedang dalam perjalanan melalui Jalan PJU 7/2 Mutiara Damansara menghampiri lampu isyarat simpang tiga di kawasan berkenaan.

“Apabila melalui tempat kejadian mangsa telah terlanggar lubang di bahu jalan. Mangsa akibat perlanggaran itu telah hilang kawalan dan terbabas di lorong kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, mangsa telah disahkan maut di tempat kejadian oleh Pembantu Perubatan yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PUM) untuk proses bedah siasat. Bedah siasat akan dijalankan setelah dapat keputusan Covid 19 di Jabatan Forensik Pusat Perubatan PUM,” katanya.

Polis meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Aakta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette