Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (kiri) berbincang sesuatu bersama Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya, Aniza Jamaludin (kanan) selepas selesai satu perjumpaan khas bersama dengan wakil Gobind Singh Deo berkenaan isu viral perobohan gerai oleh MBSJ di Bulatan Puchong Permai di Pejabat DAP, Jalan Puchong. Foto MOHD ADZLAN, 04 JANUARI 2021.

PUCHONG – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menggesa Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo supaya campur tangan dalam isu perobohan gerai milik 43 peniaga di Puchong Permai.

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa sehingga ke hari ini, Datuk Bandar Subang Jaya, Noraini Roslan masih enggan bertemu dan berbincang dengan peniaga-peniaga terbabit.

Menurut Mohd Ridzuan, lebih mengecewakan apabila tiada perbincangan diadakan, usaha perobohan itu akan diteruskan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada jam 6.30 pagi esok.

“Ahli Majlis mempunyai kuasa mutlak sebenarnya, boleh dengan peguam atau Peguam Negara. Tindakan perobohan ini bukan masalah negeri lagi, ia masalah negara, ia akan jadi besar.

“Saya difahamkan esok jam 6.30 pagi pihak MBSJ akan robohkan kawasan tersebut.

“Dalam isu ini saya memang tiada budi bicara langsung, pihak polis sudah nasihat supaya pihak saya dan peniaga jumpa bincang dengan Datuk Bandar.

“Sampai sekarang Datuk Bandar tak nak jumpa, menghilangkan diri, adakah rakyat pilih mereka? Adakah kerajaan Negeri Selangor lantik mereka,” katanya pada sidang media di hadapan pejabat DAP Batu 14 Puchong, hari ini.

Terdahulu IKHLAS membawa seramai 43 peniaga Puchong Permai untuk menemui Gobind di Pejabat Khidmat Parlimen Puchong di sini supaya campur tangan dalam isu itu.

Bagaimanapun Gobind tiada kerana berada di Johor menyebabkan mereka diminta datang ke pejabat DAP Batu 14 di sini bagi mengadakan perbincangan dengan Ahli Dewan Negara Selangor, Senator Suresh Singh Rashpal Singh.

IKHLAS turut menemui Ahli Majlis Subang Jaya, Aniza Jamaludin meminta pemimpin kawasan itu membantu dengan menangguhkan perobohan yang dijadualkan pada jam 6.30 pagi esok.

Susulan perbincangan itu, pihaknya turut akan membuat laporan polis pada malam ini meminta pihak berkuasa itu menghalang perobohan ini ketika negara dalam Peritnah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebelum berlaku isu besar di kawasan Puchong Permai ini, saya minta Ketua Polis Negara ambil tanggungjawab dalam isu ini. PKPP telah dilanjutkan sehingga Mac ini di Selangor, jadi di bawah kuasa Majlis Keselamatan Negara, pihak polis ada kuasa, berhak nasihat MBSJ.

“Jangan usik, jangan roboh, saya minta jasa baik Ketua Polis Selangor bantu dalam perkara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Perobohan gerai: Ada perkara yang saya tidak boleh buat apa-apa – ADUN Seri Serdang