Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berjalan keluar selepas membuat laporan polis mengenai isu kartel daging haram di Balai Polis Pantai, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2021

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen PKR mempersoalkan apakah perancangan kerajaan bagi memastikan negara tidak diserang gelombang keempat jangkitan wabak Covid-19.

Ujar Fahmi Fadzil, sehingga kini tidak ada perancangan yang jelas diumumkan khususnya melibatkan langkah pencegahan jangkitan di sekolah yang akan bermula lebih kurang dua minggu lagi.

Katanya, kebimbangan tercetus dalam kalangan rakyat apabila anak-anak bakal memulakan persekolahan dalam keadaan pergerakan merentas negeri dibenarkan sejak awal Disember 2020 dan kluster baharu yang tercetus.

“Dua minggu dari sekarang sekolah akan bermula tapi tidak jelas apa perancangan, contohnya adakah guru-guru akan menjalani ujian saringan sebelum mereka menjejak kaki kembali ke sekolah memandangkan ramai yang telah balik ke kampung

“Kita dengar semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kata sejumlah kluster baharu timbul akibat aktiviti merentas daerah. Jadi kita dengar sekarang ini selain kluster tempat kerja atau tapak binaan berlaku juga risiko sebarang di tempat riadah.

“Jadi apakah perancangan kerajaan untuk memastikan tidak berlaku gelombang keempat yang kita rasa kita takut mungkin akan berlaku. Dalam pada itu kita benarkan semua,” katanya yang juga Pengarah Komunikasi PKR kepada pemberita.

Justeru beliau menyarankan kerajaan menumpukan perhatian terhadap usaha untuk mengelakkan berlakunya jangkitan lebih banyak yang meningkatkan risikok berlaku gelombang keempat dalam waktu terdekat.

Sesi persekolahan bagi tahun ini akan bermula pada 20 Januari ini.

Manakala penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dibenarkan kembali ke kampus masing-masing, secara berperingkat mulai 1 Mac depan. – MalaysiaGazette