Muhammad Amiin Ridhuwan membuat laporan polis terhadap Noor Hariri berhubung dakwaan curi dan beli ahli UMNO tersebut di Balai Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Kelantan menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor yang disifatkan bermulut bacul apabila secara semborono menuduh Bersatu Bahagian Tanah Merah terlibat dalam mencuri dan membeli ahli UMNO.

Ketuanya, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan Noor Hariri ternyata berniat jahat dengan cuba berbohong apabila membuat tuduhan liar tanpa mengemukakan apa-apa bukti.

“Armada Bersatu melihat kenyataan Noor Hariri ini tidak lebih sekadar untuk mencari populariti murahan di musim pemilihan parti (UMNO) walaupun dengan berbohong.

“Kami juga melihat ini salah satu cara dia untuk menutup kelemahannya sebagai seorang ketua pemuda kerana antara Pemuda UMNO bahagian di Kelantan, Pemuda Pasir Mas di bawah kepimpinannya adalah paling teruk dan lemah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Noor Hariri berhubung dakwaan curi dan beli ahli UMNO tersebut di Balai Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Armada Bersatu Tanah Merah, Ridhwan Md Nordin dan beberapa ahli jawatan kuasa Armada Bersatu Tanah Merah.

Noor Hariri sebelum ini mendakwa Bersatu terlibat dalam perbuatan mencuri keahlian UMNO dan mendakwa sejumlah ahli UMNO Bahagian Tanah Merah ditawarkan habuan untuk menyertai parti tersebut.

Mengulas lanjut, Muhammad Amiin berkata, kenyataan Noor Hariri itu juga dianggap memandang rendah dan memperlekehkan ahli UMNO di Kelantan kerana secara tidak langsung menuduh mereka boleh ‘dibeli’ dengan begitu mudah.

“Dan jika bercakap soal tikam belakang, siapa tikam siapa. Perdana Menteri dari Bersatu tapi kita tengok ramai juga pemimpin UMNO dilantik sebagai menteri, timbalan menteri, pengerusi-pengerusi GLC.

“Dia (Noor Hariri) sendiri kini ‘pegawai tugas khas’ daripada lantikan menteri Bersatu (Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad).

“Kalau betul dia benci dan tak suka sangat Bersatu dengan buat tuduhan liar begini, sila letak jawatan” tegasnya.

Ujarnya walaupun Armada masih baharu, mereka masih ada adab dan susila dalam mengeluarkan kenyataan demi menjaga keharmonian parti rakan dalam Pakatan Nasional dan perpaduan Melayu.

“Tetapi jangan pula pihak yang cuba ambil kesempatan nak pijak kepala kami. Kepada Noor Hariri, sila cermin diri sendiri dulu sebelum buat tuduhan jahat begini. .

“Mulut kata, telah lama main parti tetapi kini, bersikap seperti duri dalam daging. Nampak bersungguh-sungguh sangat nak bermusuh dengan parti rakan walaupun sama-sama dalam kerajaan,” jelasnya.

Sebagai tindak balas terhadap dakwaan tersebut, Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat kemungkinan berlaku aktiviti rasuah dalam agihan kontrak Kementerian Pembangunan Luar Bandar seperti jalan perhubungan desa di bawah seliaan Noor Hariri terutama di Kelantan.

Sementara itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Mohd Almidi Jaafar menafikan berlaku aktiviti curi dan beli ahli UMNO melalui pemberian habuan dilakukan Bersatu di bahagian berkenaan seperti didakwa oleh Noor Hariri.

“Selepas PRU14 hingga hari ini, tidak ada berlaku kemasukan beramai-ramai ahli UMNO bahagian ini dalam Bersatu dan tidak ada satu pun UMNO cawangan di bahagian ini dibubarkan,” katanya. – MalaysiaGazette