Malaysia telah membuat bayaran kos penangguhan pelaksanaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), kata Kementerian Pengangkutan republik itu.
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan merencatkan sedikit pertumbuhan ekonomi di Negeri Sembilan,  kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, sekiranya projek berkenaan dapat diteruskan dengan sebuah daripada stesennya berada di Labu di sini, ia dilihat akan dapat membantu mempercepatkan lagi pembangunan di Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0), seperti yang dirancang kerajaan negeri.

“Kita lihat bahawa HSR ini sebenarnya mempercepatkan hubungan di kawasan selatan ini tetapi apabila dibatalkan, kita melihat bahawa ini akan merencatkan sedikit pelaburan di Negeri Sembilan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 Peringkat Negeri Sembilan di sini.

Di bawah projek MVV 2.0, sejumlah 153,411 hektar tanah di Nilai, Seremban termasuk Port Dickson akan dibangunkan dan dijangka menarik RM294 bilion pelaburan dalam tempoh 30 tahun.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan melihat keperluan pembangunan lain yang sesuai di kawasan tersebut sebagai usaha untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Pada 1 Jan lepas, dalam kenyataan media bersama oleh Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong memaklumkan projek HSR telah ditamatkan memandangkan kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia susulan perjanjian projek itu berakhir pada 31 Dis 2020.

Pemimpin itu berkata kedua-dua negara akan mematuhi kewajipan masing-masing dan kini meneruskan tindakan yang perlu, hasil daripada penamatan Perjanjian HSR tersebut.

Pada 13 Dis 2016, Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala penting untuk membuka jalan bagi pelaksanaan projek HSR yang dijadualkan siap pada 2026 dan akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit. – MalaysiaGazette