Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos membakar kerang selepas menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perikanan Malaysia berhubung kes kecurian benih kerang di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2021.

PUTRAJAYA – Susulan insiden kecurian benih kerang dari tapak semulajadi secara di pesisir pantai di Sekinchan yang berulang sejak 17 Disember lalu, perkara itu hari ini dirujuk kepada Jabatan Perikanan Malaysia.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tindakan itu terpaksa diambil selepas pendedahan media berkenaan sindiket itu pada akhir tahun lalu masih gagal menghentikan jenayah itu.

Beliau kemudiannya membakar kerang di hadapan pejabat Jabatan Perikanan Malaysia di sini.

“Bakar kerang di sini bukanlah satu perkara yang lawak tetapi mesej yang ingin saya sampaikan bahawa benih kerang adalah tanggungjawab dan bidang kuasa Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Sepatutnya perkara yang berlaku hampir setiap tahun ini dan menjadi buah mulut dan tohmahan daripada nelayan dan orang kampung bahawa penguat kuasa perikanan ini sudah ‘kaw tim’.

“Geng-geng rotor ini adalah sindiket yang besar yang mana apabila nelayan geng-geng rotor ini ambil benih kerang, dan dijual kepada pembeli, akhirnya ia lolos ke negara jiran,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Jabatan Perikanan Malaysia, hari ini.

Terdahulu Jamal merangkap Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor menyerahkan memorandum bantahan sindiket itu kepada pegawai Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Azhar Mohd Zain.

Memorandum itu bertajuk pengambilan benih kerang dari tapak semulajadi secara haram dan merosakkan ekosistem akuakultur lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Antara lain turut menyerahkan beberapa keping gambar bukti aktiviti pengambilan benih kerang secara haram yang masih berleluasa sekitar pesisir pantai di Sekinchan termasuk Pantai Sungai Leman, Pantai Pasir Panjang dan Sungai Labu.

Sebagai simbolik kepada kecurian hasil laut itu, Jamal turut membawa kelengkapan memasak termasuk dapur dan tong gas untuk membakar kerang kira-kira lima kilogram dari Sekinchan.

Pada 17 Disember lalu, MalaysiaGazette mendedahkan sindiket ini menggunakan hampir 80 bot nelayan dilengkapi enjin bot rotor untuk membongkar benih kerang di Sungai Leman, Sekinchan.

Susulan pendedahan itu, Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam berjaya merampas 10 guni berisi anak kerang dan kelengkapan mencuri itu bernilai RM20,000. – MalaysiaGazette