Junior Eldstal.

KUALA LUMPUR – Kelab bola sepak terkenal Thailand, Chonburi FC secara rasmi memperkenalkan Junior Eldstal sebagai pemain terbaharu mereka untuk saingan pusingan kedua Thai League 2020/2021.

Dalam kenyataan melalui laman web kelab itu, Junior meluahkan rasa gembira dengan perpindahan ke Chonburi yang penuh dengan sejarah tersendiri.

Junior juga berazam untuk memberikan satu aksi yang terbaik dalam setiap perlawanan bersama Chonburi FC jika diberikan peluang turun bermain.

“Saya memiliki pengalaman dalam saingan Liga Malaysia serta aksi diperingkat Asia dan pastinya saya mahu membawa pengalaman tersebut bersama kelab untuk membantu mereka.

“Chonburi FC memiliki pemain-pemain muda dan saya teruja untuk berkongsi pengalaman saya bersama mereka,” katanya.

Dengan ketibaan Junior bersama kelab Thai League 1, ini bermakna Malaysia mempunyai dua orang pemain yang sedang bersama kelab divisyen tertinggi negara itu selain Dominic Tan yang beraksi dengan Police Tero FC,” katanya.

Musim lalu, Junior beraksi bersama pasukan kelab bola sepak Metropolitan Police FC yang berpangkalan di England.

Bekas pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan itu membuat penampilan sulung dalam saingan Liga-M bersama pasukan Sarawak pada 2013-2014 sebelum menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menyaksikan beliau berjaya merangkul juara Liga Super sebanyak tiga kali (2015, 2016, 2017), Piala FA (2016), Piala Malaysia (2017) dan Piala AFC pada 2015. – MalaysiaGazette