Kapal tangki, Hankuk Chemi

DUBAI – Pengawal Revolusi Iran merampas sebuah kapal tangki milik Korea Selatan di perairan Teluk dan menahan anak kapalnya, kata media Iran, ketika ketegangan antara Tehran dan Seoul mengenai pembekuan dana Iran di Korea Selatan tercetus berikutan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Seoul mengesahkan penahanan kapal tangki kimia oleh pihak berkuasa Iran di perairan Oman dan menuntut ia dibebaskan dengan segera, lapor Reuters.

Bebebrapa media Iran termasuk rangkaian televisyen milik kerajaaan berkata, pengawal tentera laut negara itu menahan kapal tersebut kerana mencemarkan perairan Teluk dengan bahan kimia.

“Menurut laporan awal para pegawai tempatan, ia adalah masalah teknikal dan kapal itu dibawa ke pantai kerana melakukan pencemaran di laut,” menurut rangkaian televisyen kerajaan yang memetik jurucakap Kementerian Luar, Saeed Khatibzadeh.

Agensi berita, Tasnim menyiarkan gambar bot laju pengawal revolusi Iran mengiringi kapal tangki, Hankuk Chemi, dengan menyatakan ia membawa 7,200 tan etanol.

Ia berkata, anak kapal yang ditahan terdiri daripada warga Korea Selatan, Indonesia, Vietnam dan Myanmar.

Rangkaian televisyen Iran berkata, kapal tersebut kini ditahan di bandar pelabuhan, Bandar Abbas.

Kapal tersebut mempunyai 20 anak kapal, menurut Kementerian Luar Korea Selatan.

Jabatan Negara AS menggesa Iran untuk membebaskan kapal tangki itu dengan segera.

“Rejim itu terus mengancam hak pelayaran dan kebebasan Teluk Parsi sebagai sebahagian daripada cubaan untuk mengugut masyarakat antarabangsa bagi membebaskan tekanan sekatan yang dikenakan,” kata wakil Jabatan Negara AS.

Angkatan Kelima Tentera Laut AS yang berpengkalan di Bahrain menyedari tentang insiden tersebut dan sedang memantau keadaan, kata jurucakap, Rebecca Rebarich yang mengulas soalan Reuters.

Insiden itu berlaku sebelum laawatan Timbalan Menteri Luar Korea Selatan ke Tehran.

Khatibzadeh berkata, lawatan itu akan diakan tidak lama lagi yang mana para pegawai akan membincangkan permintaan Iran untuk melepaskan AS$7 bilion dana yang dibekukan bank-bank Korea Selatan kerana sekatan AS. – MalaysiaGazette