Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta siasatan dan pendakwaan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pengimport daging sejuk beku tidak berkesan.

Sebaliknya, Parti Amanah Negara (Amanah) berpendapat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi mendedahkan dalang pengimportan daging sejuk beku yang diragui status halalnya.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebagai bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani beliau bersedia memberi keterangan sekiranya RCI itu ditubuhkan.

“Ini penting sebab itu antara kewajipan saya kerana sewaktu saya menjadi menteri pertanian berperanan meluluskan Permit Import (AP) kepada setiap rumah penyembelihan di negara yang kita import daging sejuk beku halal untuk rakyat kita.

“Oleh itu, saya gesa RCI ditubuhkan. Insya-Allah sebagai bekas menteri akan memberi keterangan sekiranya diperlukan, kerana isunya dibangkitkan ia telah berjalan hampir 40 tahun, ia bukan isu kecil,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menyerahkan memorandum menggesa penubuhan RCI kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan YDPA, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

Menurut Salahuddin, penubuhan RCI satu-satunya kaedah yang boleh mendedahkan apa sebenarnya misteri sindiket atau kartel pengimportan daging sejuk beku yang berlarutan sejak 40 tahun lalu.

“Tidak ada satu kaedah terbaik dalam negara kita ini berdasarkan banyak isu yang telah dibongkar dan untuk membersihkan keadaan sekarang perlu dengan menubuhkan RCI.

“Dan barulah nanti akan terjawab apakah misteri, siapakah kartel atau siapakah yang dibelakang kartel ini akan dapat terbongkar sekiranya kerajaan bertegas untuk menubuhkan RCI.

“Melalui memorandum ini, kita telah meminta supaya RCI ini ditubuh secepat mungkin. Patik mohon limpah kurnia tuanku RCI ini dan memilih tokoh-tokoh yang tuanku berhak untuk mendapatkan nasihat serta mengetuainya ini supaya isu ini dapat didedah dan mereka yang terlibat mesti diheret ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita di hadapan Pintu 3 Istana Negara.

Tambahnya, beliau secara peribadi akan menulis sepucuk surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan akan diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu secepat mungkin.

Tindakan susulan itu untuk memastikan agenda kartel daging import dan cadangan penubuhan RCI dapat diutamakan dan dibincangkan dalam siri Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu akan datang bagi memastikan umat Islam negara ini diselamatkan daripada memakan daging yang diragui status halalnya.

“Siasatan SPRM dan juga tangkapan serta pendakwaan terhadap pengimport daging sejuk beku di mahkamah juga tidak mencukupi sebab banyak isu berbangkit sebelum ini.

“Oleh itu, Kabinet mesti memutuskan dan menyerahkan segera permohonan itu untuk berkenaan baginda,” tegasnya. – MalaysiaGazette