nasrudin hassan syariat Pas kafir
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mendakwa penganjur Pertandingan Miss Plus World Malaysia telah melanggar janji dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan telah menerima maklum balas dari pasukan pemantau bahawa pertandingan pada 2 Januari lalu di Putrajaya kerana turut melibatkan peserta dalam kalangan wanita muslimah.

Ia jelas bercanggah dengan fatwa Wilayah Persekutuan yang telah diwartakan pada 8 Februari 1996 yang mengharamkan orang Islam terlibat di dalam penganjuran ratu cantik.

“Bukan sahaja tidak jujur tetapi penganjur pertandingan ini juga dilihat cuba mencabar pihak berkuasa agama dan kerajaan apabila mereka melanggar janji yang mereka sendiri lafazkan apatah lagi turut melanggar fatwa Wilayah Persekutuan yang telah diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nasrudin, YADIM terlebih dahulu telah mengambil langkah awal dengan memberi peringatan dan bantahan kepada pihak penganjur agar pertandingan itu tidak dianjurkan.

Kemudiannya, katanya, terdapat pihak lain juga turut mengambil langkah serupa, lalu membawa pihak penganjur bertemu dengan JAKIM dan disitulah janji telah dilafazkan untuk tidak melibatkan peserta yang beragama Islam.

“Hari yang dijadualkan berlangsungnya pertandingan ini juga, YADIM sekali lagi mengulangi peringatan dan bantahan sebagai usaha menasihati dan menegur supaya penganjur sekurang-kurangnya mematuhi janji yang mereka sendiri telah lafaz dan persetujui.

“Peringatan dan nasihat YADIM ditempelak begitu sahaja. Janji mereka tehadap pihak berkuasa agama seperti JAKIM juga dirempuh tanpa rasa bersalah,” katanya.

Justeru Nasrudin menyarankan agar pihak kerajaan melalui pihak berkuasa agama mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan penganjuran aktiviti sedemikian kerana ia nyata
melanggar peraturan dan undang-undang apabila mereka menyanggahi fatwa yang telah diwartakan serta janji yang telah dimeterai.

YADIM menurutnya bukan agensi penguat kuasa yang mempunyai autoriti membuat tangkapan dan
pendakwaan namun sebagai sebuah yayasan dakwah, YADIM tetap bertanggungjawab untuk
menegur, menasihati dan mengajak masyarakat Malaysia agar tidak menganjur dan melibatkan diri dalam sebarang bentuk aktiviti yang mengundang murka Allah.

“Pertandingan ratu cantik sama ada untuk wanita langsing atau wanita bersaiz besar, wanita berkerjaya atau wanita suri rumah, wanita berbakat atau wanita biasa, tetap memberi makna “mengeksploitasi atau memperdagangkan” kecantikan, maruah dan nilai diri wanita tersebut di pasaran terbuka dan murah pula harganya.

“Selayaknya kaum wanita, meskipun dalam apa bentuk kategori tidak diperagakan kepada awam seperti “menjual” harga diri untuk nilaian harga oleh mata keranjang kaum lelaki yang tidak berhak ke atasnya.

“Kemudiannya diberi “hadiah” atas pendedahan aurat dan peragaan tubuh setelah ianya diratah oleh mata yang lahap,” kata Nasrudin.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

YADIM kekal keputusan bantah Miss Plus World

1 Komen

Comments are closed.