Pengurus the Saint, Ralph terlutut dan menangis akibat kegembiraan menewaskan Liverpool di halaman sendiri dalam aksi EPL awal pagi tadi.-Foto Agensi

LONDON – Rekod pertemuan lampau memihak kepada Liverpool namun Southampton mengejutkan pasukan pilihan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan kemenangan 1-0 dalam aksi awal pagi tadi.

Lebih menyentuh hati, pengurusnya, Ralph Hasenhuttl yang teruja dengan kemenangan anak buah itu duduk melutut di tepi padang dan menitiskan air mata kerana buat kali pertama menewaskan juara bertahan itu.

Gol tunggal kemenangan itu hadir pada seawal minit kedua separuh masa pertama dan bekas pemain the Kops iaitu Danny Ings menjadi pemusnah harapan anak buah Jurgen Klopp yang dikejar rapat Red Devils yang berkongsi mata di tangga teratas liga.

Skuad kendalian Jurgen Klopp terlampau yakin boleh menundukkan tuan rumah berdasarkan rekod pertemuan lampau yang memihak mereka walaupun dilanda krisis kecederaan pemain dan turun tanpa enam pemain utama.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya dan ia ternyata satu keputusan yang tidak dijangka Klopp sendiri dari anak buahnya.

bekas pemain the Kops, Danny Ings muncul pemusnah Liverpool selepas menyumbat gol kemenangan pada minit kedua untuk Southampton dalam aksi EPL awal pagi tadi.foto: Getty Images

Jentera Pertahanan Southampton juga memainkan peranan besar membantutkan segala usaha dan percubaan pelawat bangkit mencari gol penyamaan, sekali gus memusnahkan harapan mereka mendapatkan tiga mata yang sangat diperlukan.

Kemenangan menyekat kemaraan Liverpool menyaksikan the Saint berjaya merapatkan jurang kedudukan dengan beza empat mata sahaja dan melonjak ke tempat keenam dalam carta liga ketika ini.

Pengurus warga Austria itu memberitahu SkySports bahawa saya tak pernah memungut mata menentang skuad Klopp.

“Dalam aksi tadi saya percaya kali ini kami mampu melakukan keajaiban bertemu the Reds memandangkan jentera serangan kami kebal dan berbisa.

“Cara anak buah saya bertahan secara padu daripada dibolos sangat luar biasa dan perlu dipuji kerana mereka beraksi dengan mentaliti berani dan mahu menang.

“Ini memberi inspirasi untuk pasukan terus mara ke hadapan dalam liga untuk melakar kejutan serta mahu beraksi di pentas Eropah,” ujarnya.

Ings selaku bekas pemain Liverpool dikatakan membawa semangat kesukanan tinggi kepada rakan sepasukannya berjuang habis-habisan sehingga saat akhir memastikan gawang gol pasukan tidak dibolosi lawan.

Selepas perlawanan, Klopp menenangkan Ralph yang kelihatan agak beremosi dengan kemenangan itu dan memuji aksi bertahan cemerlang yang dipamerkan tuan rumah itu.

Klopp menenangkan Ralph yang terduduk di tepi padang dan sebak ekoran kemenangan bermakna ke atas Kops di tempat sendiri dalam aksi EPL awal pagi tadi.Foto Agensi

Pada awal musim ini, Southampton dijinakkan 9-0 oleh Leicester City sebelum pengurusnya Ralph dikritik hebat dna didesak dipecat segera.

Tetapi semalam, pasukan itu melalui satu transformasi yang menakjubkan yang mana pemain mula menyokong kebolehan Ralph di kelab itu sehingga mereka bangkit dari tangga tercorot zon penyingkiran ke tangga keenam dalam carta hari ini.-MalaysiaGazette