Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam, Tan Sri Shafee Abdullah dilihat membincangkan sesuatu selepas hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 17 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan perbicaraan penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (MDB) memohon mahkamah memberi amaran keras kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa melakukan serangan terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, ini kerana Zeti merupakan salah seorang daripada saksi pendakwaan bagi kes berprofil tinggi itu.

“Kita langsung tidak boleh terima tindakan tertuduh yang mendesak Zeti untuk menjawab. Kita sudah kemukakan saksi kepada pihak tertuduh pada 2019 dan hakikatnya tertuduh tahu saksi akan dipanggil bagi kes ini.

“Pendakwaan tidak mahu buat apa-apa permohonan contempt of court (hina mahkamah), sebaliknya mahu mahkamah memberi amaran keras kepada tertuduh supaya tidak melakukan serangan seperti ini.

“Kami langsung tidak boleh terima perkara ini,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada hari pertama prosiding selepas hampir empat bulan kes 1MDB ditangguhkan.

Ketua Pendakwaraya, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Bagaimanapun, peguam bela yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan bagaimana isu itu dipertikaikan walhal pada masa semua orang boleh sesuka hati berbicara, bercakap malah menuduh serta melabel anak guamnya dengan segala macam tuduhan.

“Semua orang boleh bercakap apa sahaja tentang anak guam saya ketika prosiding masih lagi berjalan, segala macam telah mereka panggil.

“Mereka panggil anak guam saya perompak, penyangak dan segala macam lagi, tidak pula Peguam Negara terdahulu ambil kisah, tidak ada apa-apa yang dilakukan juga,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee berkata, pihaknya akan memberi maklum balas sewajarnya berhubung isu tersebut dalam tempoh sehari.

“Kita sedang teliti perkara ini kerana baru sahaja terima notis, beri kami masa untuk jawab balik,” ujarnya.

Collin kemudian menetapkan Khamis ini untuk mendengar hujah kedua-dua belah pihak berhubung isu tersebut sebelum membuat ketetapan.

Baru-baru ini, blog MalaysiaToday yang dikendalikan Raja Petra Kamarudin mendakwa beberapa ahli keluarga Zeti, antaranya suami dan anak beliau, telah menerima lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang didakwa merupakan dalang skandal 1MDB.

Menurut portal itu, keluarga Zeti didakwa menandatangani akuan berkanun (SD) yang mengaku menerima wang di bank Singapura.

Wang tersebut didakwa datang dari syarikat yang mempunyai kaitan dengan Jho Low.

Berikutan itu, Najib mendesak Zeti menjawab segala dakwaan selepas mengeluarkan kenyataan pada Mei 2018 menyatakan beliau (Zeti) tidak tahu mengenai kewujudan dana atau transaksi dalam akaun bank Najib.

Najib berkata, beliau terkejut dengan kenyataan itu walhal Zeti adalah orang yang menasihatinya untuk membuka akaun menggunakan namanya sendiri.

Bagaimanapun, Zeti menerusi kenyataan menafikan semua dakwaan dan enggan mengulas lanjut kerana ia akan menjejaskan kredibiliti sebagai saksi dalam perbicaraan 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Collin hari ini bersambung dengan saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, akan disoal balas oleh Shafee Abdullah.

Mohd Hazem, 47,  mula memberi keterangan pada 14 September tahun lalu.

Perbicaraan sedang berlangsung ketika ini. – MalaysiaGazette