Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – UMNO sehingga hari tidak ada rekod bekerjasama dengan DAP bahkan tiada langsung hasrat ke arah itu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, pihaknya sejak dari awal lagi konsisten dan tegas bahawa DAP adalah parti chauvinis yang tidak pernah mahu mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu dan keistimewaan Melayu-Bumiputera yang sudahpun termaktub dalam Perlembagaan.

Malah, tegasnya, sebanyak 191 Bahagian UMNO yang selesai bersidang kelmarin termasuk Pemuda UMNO seluruh Malaysia tidak ada satu pun yang mengusulkan atau membincangkan soal keperluan untuk bekerjasama dengan DAP.

“Justeru Pemuda UMNO berpendirian tegas bahawa tidak relevan langsung isu kerjasama DAP ini dibangkit dan dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi mahupun Perhimpunan Agung UMNO,” katanya yang menjawab tular poster yang diedit menggunakan logo portal berita Sinar Harian dan MalaysiaGazette kononnya menyokong kerjasama dengan DAP. – MalaysiaGazette