PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration

KUALA LUMPUR – Tujuh wanita warga asing yang melakukan aktiviti pelacuran dicekup polis dalam dua serbuan di premis menawarkan khidmat urut di Taman Usahawan Kepong, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Saiful Annuar Yusoff berkata, dalam serbuan Op Noda bermula 10.25 malam itu, dua lelaki warga tempatan berusia 25 dan 54 tahun dipercayai penjaga di premis berkenaan turut ditahan.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, wanita warganegara Vietnam dan Thailand yang berusia 25 hingga 37 tahun itu menawarkan khidmat seks di pusat berkenaan.

“Semakan juga mendapati kesemua wanita berkenaan juga memiliki dokumen perjalanan yang telah tamat tempoh,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam premis berkenaan turut menemukan beberapa keping kertas jadual kerja dan pendapatan pelacuran, tuala, kondom dan wang tunai sebanyak RM370.

Saiful Annuar berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sentul untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Kesemua wanita itu disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kegiatan persundalan dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tinggal lebih masa di negara ini manakala dua lelaki tempatan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana mengurus rumah persundalan, katanya. – Bernama