Ketua Polis Daerah Ampang Jaya menunjukkan senjata api yang dirampas bersama dadah menerusi tangkapan tiga suspek pengedar dadah di Pandan Perdana Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita antara tiga suspek warga tempatan ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah pengedaran dadah dan memiliki senjata api.

Ketiga-tiga suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan polis di Pandan Perdana dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek pertama seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang memandu kereta Nissan Sentra di kawasan Pandan Perdana ditahan polis pukul 9.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta yang dipandu suspek polis berjaya menemui sebilah parang, satu pistol berserta kelopak berisi 10 peluru hidup selain dadah iaitu 460 pil ekstasi seberat 225.8 gram.

“Hasil soal siasat terhadap suspek pertama itu berjaya membawa polis kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki dan suspek wanita pada di sebuah rumah di Pandan Perdana pada hari yang sama,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, kedua-dua suspek berusia 51 dan 46 tahun dan pemeriksaan di rumah mereka, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 3.6 gram serta 10 pil ekstasi 5.5 gram.

Mengulas lanjut, pihaknya turut merampas kereta jenis Toyota Mark X menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah RM66,000.

Hasil soal siasat dilakukan ke atas kesemua suspek mendapati salah seorang daripadanya mengakui pistol itu adalah miliknya yang digunakan untuk perlindungan.

“Suspek mengaku membeli pistol itu di negara jiran pada awal tahun lalu pada harga RM17,000 manakala bekalan dadah yang dimilikinya pula dipercayai diperoleh daripada pengedar di Lembah Klang.

“Hasil semakan lanjut juga mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah manakala suspek wanita tiada rekod jenayah.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati dua suspek lelaki positif dadah jenis methaphetamin manakala suspek wanita negatif dadah,” katanya.

Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 2 hingga 8 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut polis mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama selain Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.-MalaysiaGazette