Guru, Norimi Hashim ketika hadir ke mahkamah atas enam pertuduhan memberi rasuah RM9,000 kepada tiga anggota polis di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 6 JANUARI 2021.

SHAH ALAM – Seorang guru wanita berhadapan dengan enam tuduhan memberi rasuah RM9,000 kepada tiga anggota polis.

Norimi Hashim, 40, didakwa melakukan keenam-enam kesalahan tersebut antara 7 Mac 2019 hingga 15 Jun 2020.

Berdasarkan kertas pertuduhan, guru wanita itu memberi suapan kepada polis berpangkat Sarjan iaitu Mohd Shukor Md Yusop sebanyak RM1,500, Pegawai Turus Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ASP Mohd Suwardi Mat Desa (RM3,000) dan Sarjan Mariani Abdullah (RM4,500).

Beliau dipercayai memberi suapan kepada ketiga-tiga pegawai polis itu agar tidak dikenakan tindakan terhadap pekerja warganegara asing yang tiada dokumen perjalanan sah di bawah tanggungjawabnya yang menjalankan perniagaan sampingan.

Setiap pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya didapati bersalah boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai tertinggi.

Norimi yang diwakili peguam Mohd Yusri Mohd Yusoff mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Hakim, Rozilah Salleh kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000, manakala 1 Febuari 2021 sebagai tarikh sebutan dan pengurusan kes. – MalaysiaGazette