Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supritendan Azman Shari’at ketika sidang media berkaitan dengan kemalangan yang direkodkan sepanjang tahun 2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto AFIQ HAMBALI, 6 JANUARI 2020.

SHAH ALAM – Aktiviti berbasikal di Selangor perlu dilakukan dalam kumpulan yang kecil.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, sekiranya aktiviti itu disertai bilangan ramai dan menjadikan ia kumpulan lebih besar, risiko berlaku kemalangan di jalan raya adalah tinggi.

“Kalau bergerak dalam kumpulan besar berkemungkinan pergerakan mereka itu dalam jarak yang panjang. Itu lebih membahayakan mereka kerana lebih muda terbabit dengan kemalangan.

“Jadi kita nasihatkan mereka bergerak dengan kumpulan kecil,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Meskipun tidak ada undang-undang khusus memperuntukan untuk aktiviti berbasikal di jalan raya, namun menjaga keselamatan merupakan tanggungjawab yang  perlu diutamakan oleh penggemar sukan yang semakin mendapat tempat itu, katanya.

Dalam masa yang sama, pengguna jalan raya yang lain juga perlu berhati-hati.

“Kita faham kita tidak boleh halang mereka mengayuh di jalan raya tetapi mereka perlu berhati-hati sebab mereka berada di atas jalan raya.

“Kita juga menyeru pengguna jalan raya lain bahawa penunggang basikal juga ada hak untuk berada di jalan raya kita kena sama-sama berhati-hati menjaga keselamatan masing-masing,” tambahnya.

Terdahulu beliau memaklumkan pada tahun lalu hanya satu kes kemalangan membabitkan basikal berlaku di Selangor berbanding dua kes pada pada tahun 2019 manakala tiga kes pada tahun tahun 2018 direkodkan.

Berdasarkan Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 penunggang basikal yang menunggang secara berbahaya boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 tidak melebihi RM5,000 juga boleh dipenjarakan tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 79(2) APJ 197 pula penunggang basikal boleh didenda RM300 maksimum RM2,000 sekiranya gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal.

Mengulas lanjut Azman berkata, pihaknya sedang giat memerhatikan aktiviti berbasikal dengan memberikan nasihat tentang kepentingan bergerak tanpa membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.-MalaysiaGazette