ECRL
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebuah Jawatankuasa Khas Penyertaan
Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditubuh bagi memastikan penyertaan efektif syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak turut menjadi forum dalam mengetengahkan serta menangani isu-isu berkaitan penyertaan tempatan.

“Diharapkan dengan adanya Jawatankuasa Khas di peringkat Persekutuan, ia akan berfungsi dalam memastikan penyertaan yang efektif syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan dalam Projek ECRL serta sebagai forum dalam mengetengahkan serta menangani isu-isu berkaitan penyertaan tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zuki berkata, untuk lebih mendorong penyertaan kontraktor tempatan dalam Projek ECRL, MRLSB dan CCCC telah bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri-negeri yang berkaitan bagi menyediakan satu lagi platform untuk kontraktor tempatan menyertai Projek ECRL.

MRLSB, sebagai pemilik projek dan juga CCCC selaku kontraktor utama projek telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) Tiga Pihak dengan beberapa syarikat milik Kerajaan Negeri, katanya.

Jelas beliau, MOU yang dimeterai ini bertujuan menjalinkan usaha sama antara pihak MRLSB, CCCC dan juga pihak Kerajaan Negeri dengan memanfaatkan sepenuhnya pelaksanaan projek ECRL di negerinegeri terlibat.

“Selagi kontraktor tempatan kita mempunyai kemampuan, pengetahuan teknikal dan dapat menawarkan perkhidmatan mereka dengan harga yang berdaya saing, tiada sebarang halangan bagi CCCC untuk melantik kontraktor tempatan.

“Harapan kita adalah untuk Projek ECRL menjadi salah satu projek Kerajaan yang dapat memaparkan kemampuan kontraktor tempatan dalam melaksanakan dan memenuhi piawaian tinggi manamana projek infra berskala besar.” jelasnya.

Katanya lagi, dengan penyertaan kontraktor tempatan dalam pembinaan projek tersebut, ia tidak hanya akan
bertindak sebagai rangsangan kepada sektor pembinaan tempatan tetapi akan berusaha untuk memastikan sebanyak mungkin pemindahan teknologi memandangkan projek ECRL dijangkakan menjadi salah satu projek kejuruteraan dan pembinaan yang paling mencabar di Malaysia.

“Oleh itu, harapan kita adalah agar kontraktor tempatan dapat memperoleh keuntungan dari pemindahan pengetahuan dan teknologi yang pada akhirnya akan memaksimumkan impak
pelaburan kerajaan di dalam suasana ekonomi negara yang mencabar ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette