Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) melambai kepada para media pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 JANUARI 2021.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima sorakan sokongan daripada para pengikutnya.

Beliau hadir ke Pejabat Besatu untuk mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) partinya malam ini.

Beliau tiba dengan diiringi anggota pasukan polis motosikal berkuasa tinggi tepat 8.25 malam di pekarangan ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor.

Beliau dijemput oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Muhyiddin tidak menunjukkan sebarang reaksi mahupun senyuman selepas turun dari keretanya walaupun diringi sorakan ‘Hidup Tan Sri’ oleh penyokongnya yang berkumpul menanti kehadirannya.

Mesyuarat malam ini dijangka membincangkan tindakan kerajaan dalam bencana banjir yang telah melanda Pahang dan Johor namun apa yang lebih menarik perhatian ialah desakan UMNO kepada Bersatu.

Namun semua pemimpin Bersatu yang ditemui ‘mengunci mulut’ dan enggan mengulas lanjut.

Memandangkan krisis politik dalam pimpinan Perikatan Nasional (PN) melanda sejak awal minggu ini, difahamkan berkemungkinan perkara hangat itu akan dibincangkan malam ini.

Muhyiddin  dijangka membincangkan pendirian terhadap tindakan mengejut lebih 140 bahagian UMNO yang mahu menarik balik sokongan dan kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Malah tindakan beberapa pemimpin UMNO yang mengugut Muhyiddin menyegerakan pembubaran Parlimen dan membuka ruang kepada PRU juga dilihat ‘menganggu’ keutuhan PN.

Lebih 40 pengamal media pelbagai agensi tempatan berkumpul di hadapan Menara Yayasan Selangor malam ini bagi melaporkan mesyuarat Bersatu.- MalaysiaGazette