Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Km65.5 Jalan Alor Setar-Butterworth berhampiran Padang Tembusu dekat sini, kira-kira 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata, Mat Kassim Mat Isa, 61, dan Azizah Mohamad, 60, dari Kampung Pantai Perai dekat sini, dikatakan dalam perjalanan dari arah Tikam Batu menghala ke arah Permatang Gedong.

“Motosikal dinaiki mangsa dikatakan berhenti di simpang tiga jalan untuk membelok masuk ke sebelah kanan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kembara yang tidak sempat mengelak kerana hujan dan jalan licin.

“Motosikal mangsa terjatuh ke laluan bertentangan lalu dilanggar dua kereta lain jenis Toyota Vios dan Proton Iswara yang melalui jalan tersebut. Suami maut di lokasi kemalangan manakala isterinya meninggal dunia sewaktu dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat.

Beliau berkata  kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan1987. – MalaysiaGazette