Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kegiatan jenayah penipuan dalam talian didalangi sindiket warga China hanya mampu bertahan selama 30 hari sebelum berjaya ditumpaskan polis.

Enam suspek warganegara itu yang disyaki dalang mengendalikan kegiatan tersebut berjaya dicekup kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, bertindak atas maklumat sekitar jam 2.05 petang Selasa lalu, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah membuat serbuan di sebuah unit pangsapuri yang terletak di Mont Kiara.

“Hasil serbuan yang dijalankan, polis telah berjaya menangkap enam orang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita disyaki warga China yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 32 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Polis merampas satu kad akses rumah, 11 unit telefon bimbit pelbagai jenama; empat unit komputer riba, seunit modem jenama Huawei 4G LTE dan sekeping pasport perjalanan milik salah seorang,” katanya dalam kenyataan media awal pagi ini.

Selain itu, polis turut merampas tiga buah buku latihan, Wang tunai RM285 dan mata wang yuan sebanyak ¥200 (RM124).

Tambah beliau, hasil siasatan awal, polis mendapati kesemua tangkapan telah tinggal di premis tersebut sejak awal bulan Disember 2020 dan disyaki menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan lanjut masih dijalankan ke atas kesemua suspek itu.

“Polis Brickfields menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan cara menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana – mana balai polis berhampiran,” tegasnya.-MalaysiaGazette