police cartel EAIC senior judge sexual harassment police PDRM Brunei Investment Agency Ponzi scheme scam domestic violence abuse victim wild party Kajang police station OCS
Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mengeluarkan ugutan bunuh ke atas seorang wartawan gara-gara tidak puas hati dengan laporan berita mengenai empat suspek geng samun ditembak mati polis di Sungai Buloh akhir Disember lalu dicekup polis.
Lelaki berusia 52 tahun itu merupakan bapa salah seorang suspek.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai yang mengesahkan tangkapan itu berkata, polis menahan suspek selepas wartawan berkenaan membuat laporan polis.
“Pada 28 Disember lalu, jam lebih kurang 3.32 petang, polis telah terima satu aduan daripada seorang wartawan berkenaan kes ugutan bunuh yang diterima menerusi panggilan telefon semasa berada di rumahnya di Jalan Ipoh.
“Hasil siasatan, pihak polis telah berjaya menahan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes ini pada 5 Januari lalu selepas dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk memberi keterangan mengenai siasatan itu.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menghubungi pengadu (melakukan ugutan),” katanya dalam kenyataan media petang tadi.
Tambah beliau, hasil siasatan lanjut,  suspek dipercayai merupakan ayah kepada salah seorang suspek geng samun di Sungai Buloh yang berlaku pada 25 Disember 2020 yang lalu.
Suspek didakwa tidak berpuas hati dengan tindakan pengadu (wartawan) yang menyokong polis membanteras kes jenayah menerusi penulisannya dalam media.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, selain merupakan seorang pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) (Mental).
“Kertas siasatan dibuka dan kes ini sedang disiasat polis di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan suspek yang tinggal di Petaling Jaya telah dibebaskan dengan jaminan polis,” ujar Beh. – MalaysiaGazette

Empat geng topeng dalang 50 kes samun ditembak mati