KUALA LUMPUR – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung seorang eksekutif syarikat peralatan sukan seumur hidup atas kesalahan mengatur perlawanan.

BWF dalam kenyataan memaklumkan, Unit Integritinya menyiasat wakil eksekutif peralatan sukan yang menaja pemain antarabangsa itu sejak kejohanan Terbuka Jepun 2014.

“Kami mendapati individu itu mendekati beberapa pemain antarabangsa dan menawarkan wang untuk memanipulasi perlawanan, termasuk perlawanan melibatkan pemain yang ditaja majikan individu berkenaan, selain bertaruh dalam beberapa perlawanan.

“Dia menyalahgunakan kedudukan dan pengaruhnya sebagai eksekutif dalam jenama sukan dalam usaha merosakkan badminton antarabangsa dan memperkayakan dirinya,” menurut kenyataan itu.

BWF turut memaklumkan tiga pemain Indonesia digantung seumur hidup daripada terbabit dalam sukan itu kerana kesalahan mengatur perlawanan, manakala lima lagi pemain republik itu digantung enam hingga 12 tahun serta didenda AS$30,000 (RM120,954) dan AS$12,000 (RM48,381).

Menurutnya, semua pemain itu melakukan kesalahan berkaitan mengatur dan manipulasi perlawanan serta melakukan pertaruhan ketika bersaing dalam kejohanan peringkat rendah di Asia sehingga 2019.

Sepanjang tempoh itu, mereka juga dilarang menyertai sebarang aktiviti membabitkan badminton, termasuk bahagian pengurusan, kejurulatihan, pengadilan atau pembangunan.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia, Kenny Goh dalam reaksi spontannya berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain kebangsaan yang didapati terbabit dalam aktiviti perjudian atau mengatur perlawanan.

Katanya, BAM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib, termasuk menyingkirkan mereka daripada skuad kebangsaan.

“Setahu saya, tiada pemain kebangsaan terbabit dan kita menasihatkan mana-mana pemain yang mendapat panggilan mencurigakan (daripada pihak yang cuba mengatur perlawanan) untuk terus melaporkan kepada pihak pengurusan, sebelum kita membuat laporan kepada polis dan BWF,” katanya kepada Bernama. – MalaysiaGazette