Sebuah restoran yang menggunakan dekorasi gambar semasa era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premis kedainya.
BEBERAPA hari yang lalu negara telah digemparkan dengan berita mengenai sebuah restoran yang didapati menghiasi premis mereka dengan memaparkan elemen-elemen komunisme.
Jika kita ingat, tidak lama dahulu, negara juga telah dikejutkan dengan pertambahan mendadak iklan-iklan produk kosmetik yang disifatkan berbaur lucah, mula menghiasi lebuhraya-lebuhraya utama di negara kita.
Kedua-kedua isu ini telah menimbulkan reaksi bercampur baur dalam kalangan massa di mana ada yang membantah diatas nama keselamatan dan moral tetapi pada yang masa yang sama ada juga yang mempertahankannya di atas prinsip hak dan kebebasan bersuara.
Persoalannya, apakah kedudukan sebenar di sisi undang-undang negara kita?
Kebebasan ekspresi didalam Perlembagaan Persekutuan Secara amnya, gurauan ataupun membuat gimik bagi tujuan publisiti tergolong di dalam kategori ekspresi.
Menurut undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan, kebebasan berekspresi dijamin di bawah Perkara 10(1), yang mana ia dipecahkan kepada tiga kategori yang lebih kecil, iaitu kebebasan untuk bersuara, kebebasan untuk berhimpun, dan juga kebebasan untuk berpesatuan.
Namun, didalam konteks Perlembagaan, kebebasan berekspresi tidaklah bersifat mutlak, dan ianya boleh disekat melalui penggubalan undang-undang oleh Parlimen sekiranya memenuhi kriteria-kriteria sekatan tertentu, sepertimana
yang digariskan oleh Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan.
Sekatan-sekatan yang dikenakan keatas hak kebebasan ekspresi merangkumi; bagi tujuan untuk menjaga keselamatan awam, memelihara moral, menentang fitnah, dan sebagainya.
Kedudukan Undang-Undang Sedia Ada
Melalui legitimasi yang diberikan kepada Parlimen berdasarkan peruntukan yang digariskan oleh Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan, beberapa undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara bagi tujuan untuk memelihara kepentingan-kepentingan yang disebutkan diatas telah digubal.
Secara aplikasinya, undang-undang ini dikuatkuasakan mengikut kesesuaian dan bergantung kepada situasi yang tertentu.
Sebagai contoh, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan digunapakai bagi menyekat apa-apa kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.
Sekiranya disabitkan kesalahan dibawah seksyen ini, pesalah boleh dijatukan hukuman penjara selama dua tahun dan denda. Manakala, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga boleh digunakan bagi menyekat apa-apa kenyataan atau sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam yang menggunakan platform atas talian, yang mana ia memperuntukan denda maksimum sebanyak RM 5,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Lebih berat, tindakan yang lebih keras juga boleh dikenakan di bawah Akta Hasutan 1948, sekiranya apa-apa bentuk kenyataan atau kandungan kenyataan tersebut boleh menganggu gugat keselamatan negara.
Dalam pada masa yang sama, seseorang juga boleh disiasat dan dikenakan tindakan dibawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1956 andaikata didapati menyiarkan dakyah petubuhan yang menyalahi undang-undang.
Pertubuhan-pertubuhan yang menyalahi undang-undang ini termasuklah organisasi-organisasi pengganas ataupun pertubuhan-pertubuhan haram dan tidak sah seperti kongsi gelap dan sebagainya.
Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga boleh mengenakan apa-apa tindakan bersesuaian sekiranya ia membabitkan sesebuah premis dikawasan jurisdiksi mereka seperti mana yang diperuntukkan didalam Undang-Undang Kecil PBT tersebut.
Ini termasuklah dengan memberi amaran, menarik lesen perniagaan, dan lain-lain yang difikirkan bersesuaian.
Menjunjung Acuan Sendiri
Secara amnya, konsep kebebasan berekspresi di Malaysia seringkali disalah tafsir oleh pihak-pihak tertentu. Hal ini kerana, konsep kebebasan bersuara di negara ini seringkali
disamaratakan dan diberi interpretasi yang sama seperti mana di negara-negara barat yang jauh lebih liberal.
Dalam hal ini, penulis berpendapat tafsiran terhadap kebebasan ekspresi di Malaysia haruslah dibuat berlandaskan citarasa tempatan.
Sebagai masyarakat timur, kita perlulah lebih peka dengan soal sensitiviti dan moral, apatah lagi oleh kerana kita hidup didalam masyarakat majmuk yang mempunyai kepercayaan dan budaya yang berbeza, memelihara dan menikmati keharmonian bersama haruslah sentiasa menjadi
keutamaan.
Pada yang sama, pihak berkuasa juga haruslah berhati-hati dan bertanggungjawab dalam melaksanakan undang-undang menyekat tersebut supaya tidak dilihat sebagai menyalahgunakan kuasa bagi memenuhi kepentingan tidak sah yang tertentu.
Akhir kata, semua pihak haruslah berwaspada dalam ‘bergurau’ ataupun ‘bergimik’ supaya ianya tidaklah mengganggu sensitiviti mana-mana pihak.Maka saya menyeru agar kita menghayati kembali salah satu prinsip Rukunegara yang dijunjung kita, iaitu “kesopanan dan kesusilaan”.- MalaysiaGazette
Oleh Dr Hafidz Hakimi Haron
Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Melaka.