MALAYSIA menyaksikan satu lagi rekod baharu kes positif Covid-19 semalam iaitu sebanyak 3,027 kes.

Kerajaan hari ini dilihat gagal mengawal penularan wabak pandemik Covid-19 sehingga merisikokan sistem kesihatan dan petugas barisan hadapan kita yang dilaporkan semakin keletihan.

Ironinya, pada malam sebelumnya, parti-parti politik pihak Kerajaan – UMNO dan PPBM – mereka pula mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat, membincangkan mengenai survival politik mereka dan bukannya mengenai pandemik Covid-19! Moratorium politik juga diperlukan di saat negara berdepan tragedi seperti ini!

Kami percaya kerajaan perlu mempertimbangkan pandangan ramai pakar-pakar perubatan supaya melakukan ujian saringan secara besar-besaran, bermula dengan semua kawasan yang berisiko tinggi seperti asrama tempat tinggal pekerja asing, penjara dan penduduk yang tinggal berdekatan dengan mereka.

Merujuk kepada jawapan parlimen, Kerajaan berkemampuan melakukan ujian saringan PCR sebanyak 19,489 sehari (16,670 ujian saringan di bawah Kementerian Kesihatan dan 2,819 ujian saringan di bawah Kementerian Pertahanan) sementara sektor swasta mampu melakukan sehingga 59,485 ujian saringan sehari – ini menunjukkan kapasiti negara untuk ujian saringan PCR adalah sebanyak hampir 80,000 sehari.

Namun jika kita mempertikaikan kos ujian saringan ini yang terlalu tinggi, kita boleh menggunakan ujian saringan Antigen RTK kerana ianya lebih murah dan cepat dan dikatakan lebih sesuai untuk ujian saringan secara besar-besaran.

Bagaimanapun, kita sudah tentu berkemampuan dan mempunyai kapasiti untuk melakukan ujian saringan besar-besaran ke kawasan yang disasarkan.

Oleh kerana begitu banyak kes positif tidak simptomatik (80%), ujian saringan besar-besaran menjadi sangat penting bagi membolehkan pengasingan awal dapat dilakukan dan mencegah penyebaran serta ‘tumpahan’ tidak terkawal dalam masyarakat. Dengan menggunakan gabungan antara data epidemiologi dan AI, tahap risiko algorithm yang dicapai oleh masyarakat terutamanya yang berkaitan dengan kluster besar.

Sebagai contoh, Selcare, sebuah GLC milik kerajaan Selangor, telah menjalankan beberapa siri ujian saringan kepada komuniti di kawasan berhampiran kilang di Klang yang mengalami wabak.
Sebagai contoh, di Taman Bayu Perdana, dua ujian saringan yang telah dilakukan: yang pertama ialah pada 23 Disember 2020 – daripada 915 orang yang melakukan ujian saringan, 63 adalah positif (60 orang warga tempatan dan 3 orang warga asing) dan yang kedua ialah pada 3 Januari – daripada 75% sampel yang dianalisis setakat ini, iaitu daripada 1,021 sampel, 45 adalah positif (33 orang warga tempatan dan 12 orang warga asing).

Data ini mewakili 4.4% kadar positif. Kita harus ingat, WHO telah mengesyorkan Kadar Positif mestilah <5% sebagai petunjuk penyebaran komuniti adalah terkawal. Tidak dinafikan, daripada 8 ujian saringan besar-besaran yang telah dilakukan, terdapat juga antara  7% hingga 25%.

Sememangnya apabila kita melakukan lebih banyak ujian saringan, jumlah kes positif akan dilihat meningkat buat sementara waktu.

Namun, ini bukan masanya kita menyembunyikan kepala ke dalam pasir. Kita mesti berdepan dengannya, cari semua kes positif di kalangan kita dan asingkannya! Kerajaan mesti membuat pelaburan dengan melakukan ujian saringan besar-besaran hari ini, kerana harga kemanusiaan dan nilai ekonomi yang harus kita bayar kemudian, akan jauh lebih besar berbanding melakukan ujian saringan besar-besaran.

Selain itu, kami percaya bahawa terdapat keperluan untuk memperbaiki keseluruhan sistem pengesanan kontak. MySejathera – seperti yang dilaporkan, hanya mampu mengesan 4% daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia, dan ini menunjukkan yang Kerajaan masih lagi bergantung kepada pengesanan kontak secara manual, iaitu dengan bertanya kepada pesakit positif siapa kontak rapat mereka dan kemudiannya melakukan ujian saringan.

Ini juga menunjukkan kerajaan belum sepenuhnya (atau tidak sama sekali) memanfaatkan analisis data besar dengan menggunakan data yang dikumpulkan melalui MySejahtera dan digabungkan dengan data lain yang terdapat dalam sistem kerajaan dan juga data terbuka yang boleh dikaji, sebagai contoh post dengan meta-data dan tag yang digunakan di media sosial dan sebagainya serta membangunkan kaedah terkini yang lebih canggih untuk mengesan kes positif di dalam masyarakat.

Kita mesti terus berinovasi dan tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan dan kemenangan sebelum ini. Malaysia telah lama mengatasi China – punca pandemik global – dengan 125,000 kes dengan lebih daripada 515 kematian!

Kita mesti bertindak secara pre-emptive dan proaktif, untuk melindungi dan mempertahankan zon hijau kita dan mengurangkan kes-kes baharu dan seterusnya mengelakkan lebih banyak kematian, dengan mencegah penularan wabak di kawasan kilang, tempat kerja dan tapak pembinaan, terutama sekali di bandar-bandar besar seperti di Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Oleh itu, kami menggesa penggunaan sains dan amalan terbaik intervensi kesihatan awam yang lebih meluas, dan kami percaya Kerajaan akan menggunakan pendekatan membabitkan ‘keseluruhan Kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dalam mengendalikan krisis gelombang ke-3 yang semakin buruk akibat pandemik Covid-19.- MalaysiaGazette

Kenyataan bersama Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor, mantan Menteri Kesihatan), Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng, mantan Menteri Kesihatan) Yeo Bee Yin (Ahli Parlimen Bakri, mantan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Ahli Parlimen Kota Belud, mantan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).

4 Komen

  1. Doktor yang mana satu yang kata memakai pelitup muka tidak membantu apa2 dalam mengawal penularan COVID-19 suatu ketika dahulu?

    Itu statement saintis spesis cap ayam ke apa?

  2. Apa pula cerita keadaan sungai2 di Pasir Gudang yang telah dicemari oleh bahan2 kimia oleh mereka2 yang tidak bertanggungjawab?

    Sudahkah pakar2 sains dinegara ini dapat mengembalikan sungai tersebut kepada keadaaan asal?

  3. yang berkata..DR WAN AZIZAH dn DR ZULKIFLY AHMAD memberi jaminan pelancung CINA tidak perlu disekat masuk Malaysia kerana hanya berlaku disana dan jauh dari negara..malah kita mampu menangani spt DENGGI…maka berkata pula TUN DR MAHATHIR KENAPA PERLU KUARANTIN seperti LEMBU?????sekarang DOKTOR2 INI MENUDING JARI pada kerajaan…tetapi 4 JARI Kearah mereka

  4. Ex menteri PH sembang kari dahh. Dulu pun sembang kari. Semua mampu buat, analisis big data lah, saringan besar besaran lah. Klu letak dia jd menteri semula, kerat jari lah dia akan buat semua tu. Sbb alasannya negara dah bankrap, xdak duit nak bayar kit ujian. Xleh PKP sbb klu buat PKP, makin bankrap lah negara. Semua ni alasan2 mungkin keluar waktu tu.

Comments are closed.