KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan Pelan Bantuan Banjir bagi pelanggan-pelanggan yang terjejas berikutan bencana banjir yang sedang melanda negara.

Pelan tersebut adalah penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan untuk pelanggan-pelanggan BSN yang terjejas dengan banjir di seluruh negara.

Ketua Pegawai Operasi BSN, Kameel Abdul Halim berkata, pelan ini diwujudkan khas bagi membantu dan mengurangkan beban yang ditanggung oleh pelanggan-pelanggan.

”Kami sedar akan kesukaran yang berpunca daripada hujan lebat dan banjir di luar jangkaan, terutamanya di negeri-negeri di Pantai Timur. Banyak rumah, kenderaan, perniagaan dan sebagainya rosak teruk sekaligus menjejaskan urusan harian serta sumber pendapatan mereka. Kami memahami bahawa sesetengah pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka pada saat-saat genting seperti ini,” katanya.

Menurut beliau, bank akan memproses dan menilai setiap permintaan mengikut keadaan masing-masing. – MalaysiaGazette