Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji semula dengan teliti arahan sesi pembukaan semula sekolah dan universiti dalam masa terdekat ini susulan peningkatan kes jangkitan virus Covid-19.

Setakat ini, tidak ketahui sehingga bila jumlah kes jangkitan virus ini akan terus bertambah.

Lantaran itu, wajarkah sekolah dibuka mengikut kalendar akademik 2021 manakala universiti pada 1 Mac tahun ini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mewujudkan pelan B dengan segera sekiranya jumlah kes jangkitan virus Covid-19 masih tidak menunjukkan penurunan.

Pelan B ini perlu dihebahkan kepada semua pelajar dan ibu bapa dengan segera supaya mereka dapat mengambil segala langkah awal untuk melakukan persediaan.

“Pembukaan sekolah boleh mengundang implikasi besar kepada para pelajar dan ibu bapa terutamanya dari aspek kewangan seperti perbelanjaan wang untuk proses pembelian peralatan persekolahan serta pakaian sekolah anak-anak mereka.

”Pembukaan universiti turut mengundang implikasi yang sama kepada para penuntut terutamanya kepada penuntut yang berasal dari kawasan jauh dari tempat pengajian mereka.

”Sekiranya sekolah dan universiti terpaksa ditutup kelak selepas segala proses perbelanjaan, pembelian dan perjalanan pulang ke kampus dilakukan, ia akan menyebabkan ramai pihak akan berasa kecewa dan keadaan juga boleh menjadi kalam- kabut,” katanya.

Oleh itu, sebarang keputusan perlu mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan para pelajar.

Pada masa yang sama, Muzaffar berkata, KPM dan KPT juga perlu merangka satu polisi jangka panjang dalam negara kita untuk jadikan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian sebagai dasar sistem pendidikan negara kita dan digunakan buat selama-lamanya demi kebaikan semua pihak terutamanya kepada para pelajar. – MalaysiaGazette