Banyak pihak meminta sekatan pergerakan diperketatkan susulan lonjakan kes Covid-19.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mencadangkan pergerakan diperketatkan semula bagi mengawal penularan jangkitan wabak Covid-19.

Katanya, sekarang adalah masanya untuk pemimpin politik dan masyarakat mengambil tanggungjawab mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

Beliau yang prihatin dengan jumlah jangkitan wabak itu sejak kebelakangan ini turut mengingatkan mengingatkan agar pihak tertentu tidak memberikan ulasan yang hanya memburukkan keadaan.

“Jangan lakukan sesuatu yang boleh memburukkan lagi keadaan. Jangan hanya pandai komen. Elok perketatkan pergerakan agar elak menjadi lebih parah.

”Terlalu menjaga kepentingan politik juga boleh mengakibatkan terabainya untuk menjaga kepentingan rakyat,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Kebelakangan ini kes positif Covid-19 harian menyaksikan peningkatan yang membimbangkan.

Pada 7 Januari yang lalu, Malaysia merekodkan kes positif tertinggi iaitu 3,027.

Pada empat hari yang lalu pula, KKM memaklumkan 11 kluster baharu melibatkan pergerakan rentas daerah dan negeri.

Dalam pada itu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan langkah terbaharu kerajaan dalam menangani Covid-19 di Malaysia pada Isnin ini.- MalaysiaGazette