Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) berbincang sesuatu bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) ketika hadir ke sesi Dialog bersama media di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 13 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut hari ini menjadi tumpuan kepimpinan utama apabila parti itu mengadakan mesyuarat peringkat pusat, hari ini.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut berada dalam mesyuarat itu bersama beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

Difahamkan mesyuarat itu akan membincangkan mengenai hala tuju kerjasama politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ini kerana akar umbi UMNO telah mengusulkan usul penolakan kerjasama politik antara parti itu dengan Bersatu.

Usul itu akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini.

Bagaimanapun, tepat jam 10.30 pagi, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Muhammad Abduh Nik Aziz dilihat meninggalkan ibu pejabat parti itu.

Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abd Samad kelmarin berkata, parti itu akan membincangkan ketetapan yang diambil UMNO berkenaan usul memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), hari ini.

Dalam pada itu, pemimpin veteran Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohammed semalam berkata parti itu akan terus berusaha agar sekutunya, UMNO dapat menerima hakikat betapa perlunya mereka terus kekal dalam satu gabungan. – MalaysiaGazette