Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak berasa kesal meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini masih kerajaan.

Biarpun jika diundurkan waktu dan diberi pilihan untuk memilih sama ada untuk bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin atau tidak, bekas Ketua Armada Bersatu itu akan tetap meninggal parti tersebut.

“Tidak kesal, orang kata kalau rewind time adakah saya akan buat keputusan yang berbeza, saya kata tidak,ini saya sudah sampaikan kepada Tan Sri Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini (keputusan)  bukan kerana mereka semata-mata. Kalau pada bulan Februari, ketika Langkah Sheraton itu dibuat, Tun juga bersama dalam gerakan Sheraton ini, saya sudah maklumkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu secara formal. Walaupun Tun menyertai gerakan itu, saya tidak akan setuju dan saya akan lawan,” katanya dalam program Owh!MG terbitan MalaysiaGazette.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyerahkan kalendar tahun 2021 kepada sebahagian penduduk di Pasar Pagi Jalan Stadium, Muar, Johor. foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2020.

Dalam temubual tersebut, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar itu melahirkan rasa kesal dengan keadaan politik semasa negara yang semakin meruncing.

Katanya, situasi itu disebabkan oleh Langkah Sheraton, keadaan politik negara menjadi tidak stabil dan menjejaskan rakyat.

“Saya paling risau rakyat hilang kepercayaan kepada demokrasi kerana mereka tahu selepas mengundi esok, dia boleh lompat, lepas mengundi boleh ada perubahan kerajaan seperti undian mereka itu tidak bermakna langsung.

“Saya risau kerana kalau perkara ini berlaku dan berterusan, the save of demoracy will be reduce dan kita tak nak perkara itu berlaku,” katanya lagi.

Bagaimanapun, anak muda berusia 28 tahun ini mendedahkan ada perbincangan belakang tabir yang mahu beliau kembali kepada Bersatu.

“Kalau saya hanya sekadar nak kekalkan jawatan, senang saya kekal je dalam Bersatu dan boleh kekal jadi menteri dan kekal jadi Ketua Armada.

“Banyak lagi perkara lain seperti rundingan di sebalik tabir, banyak yang saya boleh dapat tetapi kalau saya ambil pendirian tersebut, saya tak yakin saya boleh tidur.

“Saya tidak boleh tidur sebab saya membelangkangkan prinsip saya yang mendorong saya masuk ke dunia politik,” kata Syed Saddiq.

Selepas runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu, Syed Saddiq mula mengenepikan diri daripada Muhyiddin dan juga Dr Mahathir, lalu merintis haluan baharu kepada arena politik.

Setelah tidak bersama kedua-dua figura politik itu di dalam platform yang sama, Syed Saddiq mengorak langkah sendiri dengan menampilkan sisi baru politik negara dengan mengetengahkan suara anak muda.

Malah tercetuslah, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beramah mesra dengan penduduk setempat di Muar, Johor. foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2020.

Parti ini kata Syed Saddiq, adalah platform untuk generasi masa depan pemimpin negara memulakan karier politik mereka berlandaskan kepada dunia yang baharu.

“Saya nak fokus kepada 20 hingga 30 tahun akan datang. Betul-betul tubuhkan platform yang berprinsip dan berintegriti berbilang bangsa, dan agama yang moderat yang fokus kepada isu-isu rakyat, kurang berpolitik, dan cari jalan penyelesaian,” jelas beliau lagi.

Ia juga bertujuan untuk mencipta gelombang politik dan politik dasar yang baharu dalam mengubah lanskap struktur sistem demokrasi di Malaysia. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sbnrnya kita sendiri tak tahu samada politik negara akan stabil wlpun Langkah Sheraton tak berlaku. Semua andaian shj sedangkan smasa PH gomen pun, berbalah berebut jawatan PM dan pengurusan negara bukanlah pada tahap terbaik. Nak bankrap dah kata Lim dong dong ceng. Manifesto semua pun tak nak buat.
    Jd tak payah lah buat andaian konon2 kerajaan PH dulu lebih stabil jika masih berkuasa berbanding kerajaan hari ni.

Comments are closed.