Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk membenarkan hanya lima sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelima-lima sektor itu adalah sektor perlu (essential).

“Lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi,” katanya dalam perutusan khas PKP hari ini.

PKP 2.0 yang dilaksanakan semula bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari sehingga 26 Januari depan.

Ia dilaksanakan selama 14 hari bertujuan untuk menurunkan kes positif Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya
menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri.

“Kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan, aktiviti perdagangan antarabangsa, memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan,” ujarnya.

Bagaimanapun tambah Muhyiddin, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

Malah, jumlah pekerja yang  ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan.

“Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja.

“Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan,” katanya lagi.

Jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai essential economic sector akan diperincikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). – MalaysiaGazette