Najib Razak
KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan membina persepsi bahawa kerajaan pada hari ini hanya sekadar mahu mengekalkan kuasa politik dan bukannya atas kepentingan rakyat jika kerajaan bersetuju untuk sekali lagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meminta pengisytiharan darurat.
”Jika laporan media betul bahawa kerajaan PN telah bersetuju untuk sekali lagi menghadap YDPA untuk meminta darurat dengan alasan mahu melawan Covid maka saya percaya keputusan ini adalah berasaskan politik dan bukan untuk melawan Covid,” kata Datuk Seri Najib Razak.
Ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama bulan Mac-April dulu adalah amat tegas termasuk mengarahkan anggota tentera untuk mengawal keadaan.
”Apa lagi yang tak cukup untuk lawan Covid masa PKP pertama itu?
”Seperti dibuktikan pada PKP pertama tahun lepas, undang-undang Malaysia di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudah cukup kuat untuk segala kerja mengawal Covid tanpa pengisytiharan darurat dan menggantungkan Parlimen,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar yang melaporkan perintah darurat mungkin akan segera digunakan untuk menangani lonjakan kes Covid-19.
The Star yang memetik beberapa sumber di Putrajaya melaporkan krisis Covid-19 dan keperluan untuk mengisytiharkan darurat telah dibincangkan dalam mesyuarat khas Kabinet pada pukul 11 ​​pagi tadi.
Namun tidak ada perincian mengenai apa yang diputuskan oleh Kabinet tetapi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Yang Di Pertuan Agong petang ini.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga dijangka mengadakan mesyiarat pada petang ini.
”Ramai juga yang akan membina persepsi bahawa kerajaan PN melonggarkan hampir semua SOP termasuk menarik balik sekatan rentas negeri untuk sengaja menggadaikan kesihatan dan nyawa rakyat dengan membiarkan keadaan Covid menjadi teruk agar mereka ada peluang untuk meminta darurat sekali lagi setelah permintaan darurat pertama mereka telah gagal pada bulan Oktober lalu
”Jika ianya benar bahawa permintaan darurat dibuat sekali lagi maka lagi ramai rakyat yang akan membina persepsi bahawa kerajaan hari hanya sekadar mahu mengekalkan kuasa politik mereka dan bukan atas kepentingan rakyat,” ujar Najib. – MalaysiaGazette