Kelihatan seorang warga emas yang berkerusi roda membaca surat khabar bagi mengetahui berita terkini semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2019
‘Jangan suka merajuk, nanti cepat tua’ adalah kata-kata yang biasanya digunakan berbentuk gurauan. Baru-baru ini saya diminta membuat perkongsian pembacaan oleh Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia. Saya memilih satu buku yang dihadiahkan oleh seorang rakan bertajuk ‘the Changing Mind, a Neuroscientist’s Guide to Aging Well’ yang ditulis oleh Daniel Levitin, terbitan 2020. Apabila saya membaca buku ini, segala fakta menunjukkan gurauan orang tua sebenarnya mempunyai asas, walaupun tiada catatan bagaimanakah kata-kata gurauan ini bermula. Ini membuktikan pemerhatian orang tua sangat bernas dan berasas.Saya memilih untuk berkongsi melalui tulisan ringkas ini, kerana saya memikirkan perkara ini adalah sesuatu yang perlu menjadi perhatian setiap orang dan berusaha bertindak agar kita melakukan sesuatu yang wajar sebelum kita terlewat dalam meniti usia emas. Fokus tulisan ini ialah cadangan tindakan yang mampu kita lakukan sebagai individu.
Sedikit cadangan melibatkan institusi juga ada dikemukakan demi kebaikan bersama.
Proses memasuki usia emas melibatkan aspek fizikal, minda, perasaan, pelbagai deria yang akan mengalami kesan penuaan. Badan dan anggota badan, penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa dan bau akan terkesan. Kekuatan berfikir, daya ingatan dan emosi juga akan terkesan. Bagaimana keadaan seseorang dalam menjalani hidup ketika tua bergantung kepada pelbagai faktor melibatkan gaya hidup bermula ketika zaman kanak-kanak dan tindakbalas kepada persekitaran dan perubahan dalam tingkahlaku individu.
Semua yang hidup pasti akan mati, dan ini bukan persoalan lagi. Namun melalui ilmu, usaha, disiplin diri yang tinggi, dan set minda yang betul mengenai kehidupan dan peranan kita sebagai makhluk yang dijadikan oleh Pencipta, kita seharusnya boleh berusaha memanjangkan jangka masa sihat (health span) dan memendekkan jangkamasa sakit (desease span). Pendekatan ini samalah apabila kita membuat pelaburan skim insuran kesihatan, atau lain-lain bentuk skim yang memberi perlindungan kepada risiko yang mungkin terjadi. Pelaburan kita ialah dalam bentuk seperti saya nyatakan di atas, iaitu berusaha bertindak sewajarnya, mencari ilmu dan mengamalkannya.
Menurut penulis buku ini, satu sifat keperibadian yang penting dalam menentukan kejayaan hidup di hari tua ialah kesungguhan (conscientiousness). Pakar psikologi percaya setiap orang berupaya membangunkan sifat ini dan memperkasakanya. Dengan adanya sifat ini kita boleh mengubah cara kita berinteraksi dan memperbaiki potensi diri agar hari tua lebih baik. Kesungguhan merupakan langkah pertama mengatasi cabaran mengubah gaya hidup, setelah kita mengetahui perubahan ini akan membawa kebaikan dalam jamgka masa panjang.Pengalaman ketika kecil dan hubungan dengan ibu bapa sangat penting.
Hubungan renggang anak dan ibu bapa boleh menjadikan seseorang tidak berupaya membina hubungan sosial yang baik ketika dewasa. Menjadi satu keperluan semulajadi anak-anak menjalin hubungan fizikal dan emosi yang intim dengan ibu-bapa, termasuk anak-anak yang mengalami autisma yang kelihatannya lebih selesa bersendirian. Namun seperti diketahui, kajian menunjukkan mereka ini sebenarnya sangat berkehendakkan kepada interaksi.
Adalah lebih baik anak-anak elakkan sukan yang boleh memberi hentaman di kepala kerana boleh meningkatkan risiko kesihatan mental seperti demitia. Kesihatan mental boleh dipelihara melalui kepelbagaian aktiviti fizikal ringan yang tidak membebankan. Berjalan laju di trek taman atau hutan boleh meningkatkan kadar denyutan jantung dan otak mendapat bekalan darah beroksigen. Persekitaran di taman dan langkahan yang dibuat boleh menggerakkan litar-litar di otak dan boleh menghalang kemerosotan kognitif dalam jangka panjang.
Interaksi sosial sangat penting dan hampir setiap bahagian otak akan terkesan melalui
interaksi sosial, interaksi sebenar secara fizikal, bukan interaksi melalui media sosial. Aktiviti berinteraksi boleh dibuat dalam pelbagai bentuk termasuk perbincangan buku atau isu, bersukan, berjumpa teman lama dan sebagainya. Interaksi seumpama ini melibatkan memahami bahasa badan, memahami emosi melalui airmuka, dan percakapan. Ia memerlukan keterlibatan aktif seperti perasaan empati, memahami perasaan (compassion), berfikir secara logik dan ini adalah bentuk operasi kognitif lanjutan. Menurut penulis buku ini, rasa keseorangan lebih teruk dari menghisap 15 batang rokok sehari. Rasa keseorangan adalah natijah dari rasa tidak ada nilai dalam perhubungan sosial. Satu sebab yang menyebabkan seseorang sukar berinteraksi ialah mudah pemarah dan gemar membuat sangkaan.
Ini adalah sifat yang boleh memberi kesan negatif di hari tua. Kajian neurosains menunjukkan satu strategi terbaik untuk kehidupan lebih tenang dan tenteram ialah dengan bersegera melupakan perselisihan, kemarahan samada kecil atau besar dan bersikap terbuka. Jauhi bersikap bersikap pemarah, dan benci membenci dan gemar menjatuhkan hukuman. Harus diingat kesakitan adalah berbentuk fizikal dan ianya
adalah hasil dari maklumat melalui deria, namun kesakitan juga dipengaruhi oleh emosi dan faktor budaya. Emosi yang negatif boleh meningkatkan kesakitan. Badan kita boleh
menerima maklumat yang salah atau realiti yang palsu.
Kemurungan boleh berlaku kepada semua manusia, tetapi kesannya sukar dilihat kepada
mereka yang lebih berumur. Begitu juga kesan rasa keseorangan. Kemurungan adalah rasa tiada harapan, sedih, dan kekosongan yang berpanjangan, dan perlu dirawat. Kemurungan, kesunyian dan rasa tidak dihargai boleh terjadi kepada mereka yang bersara dan meninggalkan perkhidmatan. Hubungan melalui media sosial berbeza dari perhubungan nyata. Buku ini mengaitkan kisah penuaan dan antara tindakan yang baik selain aspek penjagaan kesihatan, pemakanan, aktiviti fizikal dan seumpamanya ialah kesungguhan memelihara hubungan sosial dan melakukan sesuatu yang boleh mengaktifkan minda. Disini lah buku ini menyarankan agar tiada istilah persaraan. Memetik kata Colonel Sanders, ‘gunakan keupayaan yang ada sehingga akhir hayat’. Beliau berkata demikian pada usia 89 tahun.
Organisasi yang prihatin terutamanya universiti boleh mengujudkan pakej yang
mengambilkira menafaat yang boleh diperolehi dari mereka yang veteran ini yang pastinya dikalangan profesor yang begitu berpengalaman bukan saja ilmunya yang mendalam tetapi kebijaksanaan (wisdom). Saya tahu banyak universiti menyediakan skim kontrak, namun kekangan bajet menjadi cabaran untuk skim seperti ini dilaksanakan dengan lebih meluas.Sebagai contoh, UTM ada menyediakan skim Amal Bakti kepada staf akademik yang telah bersara. Staf boleh meneruskan memberikan kuliah secara berkongsi, dan tiada bayaran khusus ditetapkan. Mereka juga masih boleh terlibat dalam kumpulan penyelidikan diaturmengikut persetujuan bersama . Skim ini bersifat sukarela. UTM juga telah mengujudkan skim lantikan fleksibel, menambahbaik skim Amal Bakti. Skim ini menyediakan bayaranminimum mengikut beban tugas pengajaran yang dipersetujui. Skim ini memberi lebih fokus kepada tugas pengkuliahan. Namun pilihan untuk terlibat dalam penyelidikan turut dibuka.
Skim seperti ini memberi menafaat kepada kedua-dua pihak iaitu pengalaman luas staf
akademik yang akan menguntungkan pelajar dan bajet yang tidak membebankan universiti. Staf juga mengisi masa dengan sedikit sumbangan, sambil terus mengaktifkan minda, dan dapat berinteraksi secara aktif. Ini boleh menyediakan kualiti hidup lebih baik menjelang usia emas. Sebagai organisasi yang memberi perhatian utama kepada manusia, UTM telah lama mengujudkan pakej-pakej gaya hidup sihat bagi menafaat warganya. Ianya berjalan secara formal dan tidak formal. Sebagai contoh setiap bulan dianjurkan senamrobik melibatkan semua warga kampus, termasuk pelajar dan keluarga staf. Kita yakin masa yang diperuntukkan memberi pulangan yang berbaloi dalam bentuk peningkatan produktiviti.
Selain itu diwujudkan juga skim pemeriksaan kesihatan, anjuran pemakanan sihat, program berhenti merokok, menguruskan berat badan yang ideal. Program tidak formal cukup aktif bergerak di kalangan staf. Umpamanya program gotong royong pembersihan sungai dan kawasan sekitar kampus. Aktiviti rekreasi oleh pelbagai kelab sangat aktif terutamanya aktiviti pendakian dan trekking. Setiap hujung minggu kelihatan staf UTM menjalankan pelbagai aktiviti seperti pendakian, larian, trekking dan seumpamanya. Ini sangat mengujakan, selaras dengan hasrat universiti membudayakan integrasi kerja-kehidupan (work-life integration) di kalangan warganya.
Banyak lagi ruang boleh diteroka. Antaranya aktiviti membaca dan perkongsian buku yang
boleh disertai oleh warga emas, samada staf, pesara maupun di kalangan ahli masyarakat. Aktiviti sebegini tidak melibatkan kos, tapi impaknya sangat baik. Apa yang penting setiap pihak terutama kita sebagai individu menanam kesungguhan, dan pihak-pihak lain menyediakan ruang dan peluang, agar usia emas kita terus cemerlang, insya Allah.
Wahid Omar,
Professor,
Universiti Teknologi Malaysia