Foto hiasan
TAHUN 2020 baru sahaja melabuhkan tirainya dengan pelbagai kisah suka dan duka disemat dan disimpan dalam hati masing-masing dan kini 2021 menyusul tiba. Tahun baharu menjadi titik tolak untuk kita membina kehidupan yang lebih menjaminkan dengan semangat dan azam baharu.
Ada syarikat dan peniaga yang baru cuba untuk bangkit dari kejatuhan, ada yang baru sahaja mendapat pekerjaan baharu tidak kurang ada yang sudah mula untuk berjinak-jinak dengan perniagaan secara kecil-kecilan.
Namun, tidak semua perancangan kita sama dengan perancangan yang Maha Esa Hari ini kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 2 minggu perlu dilaksanakan di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya,Labuan) Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Sabah bermula pada 13 Januari 2021 bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin tidak terkawal di dalam komuniti.
Pelbagai respons dan rintihan rakyat dapat dilihat di media sosial, ada yang sokong dan ada yang tidak sokong. Kerajaan juga kini ibarat diluah mati emak ditelan mati bapak bagi mencari jalan tengah mengimbangi kepentingan ekonomi dan Kesihatan.
Apa sahaja keputusan dibuat kerajaan sudah pasti mendahulukan kepentingan rakyat tambahan pula soal nyawa dan keselamatan rakyat jelata. Walaupun kehidupan kita ibarat dilautan yang luas, gelora dan ombak membadai, tidak semua mampu meredah kerana kita berada dalam kapal kehidupan yang berbeza.
Ada yang menaiki kapal persiaran, ada yang menaiki kapal layar, ada juga yang menaiki kapal kayu mahupun sampan yang mungkin mampu meredah tetapi ada yang hanya berenang dan lebih teruk ada yang sudah lemas dibawa arus.
Nauzubillahiminzalik! Oleh hal yang demikian, kerajaan perlu memikirkan soal kebajikan rakyat yang semakin menekan dan membebankan. Kerajaan harus menyediakan moratorium 6 bulan secara pukal kepada semua bagi mengurangkan bebanan rakyat Kerajaan juga harus memudahkan dan meluluskan pengeluaran wang KWSP i-Sinar kepada semua pemohon. Selain itu juga, kerajaan perlu menyediakan pelbagai insentif dan bantuan secara terus ke tangan rakyat terutamanya golongan B40.
Namun, kerajaan juga harus membantu peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang kini terjejas teruk sehingga ada yang hilang pendapatan secara total. Fokus kerajaan kini perlulah benar-benar membantu rakyat yang ada di antara mereka ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Hentikan seketika polemik perebutan mahupun percaturan politik negara, rakyat sedang menilai parti mana ataupun pemimpin mana yang benar-benar ikhlas membantu rakyat atau hanya mengejar kerusi empuk. Semoga wabak covid19 ini segera reda dan rakyat mampu bangkit membina semula kehidupan masing-masing.
Kepada Allah SWT jua kita berserah
DR Aiman Datuk Jaafar