Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,309 kes positif baharu Covid-19 hari ini dan ia mencatat rekod tertinggi setakat ini dilaporkan di negara ini.

Selangor pula mencatatkan pertambahan terbanyak iaitu 1,007 kes manakala Johor pula sebanyak 442 kes dan Sabah pula 409 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 30,390 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,303 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 2,461 kes adalah warganegara Malaysia dan 842 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 825 kes (81.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, sebanyak 439 kes (13.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (192 kes), Kluster Tembok Choh (162 kes), Kluster Tembok Mempaga (70 kes), Kluster Tembok Gajah (7 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Telok Mas (3 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (2 kes).

Selain itu menurut Ketua Pengarah Kesihatan, sebanyak 1,469 kes sembuh hari ini menjadikan kumulatif kes adalah 110,584.

Dalam pada itu beliau berkata sebanyak 190 kes yang dirawat d Unit Rawatan Rapi dengan 83 daripadanya mendapatkan alat bantuan pernafasan. -MalaysiaGazette