Pedai samurai, antara senjata samun yang dirampas dari tiga suspel warga tempatan yang berselindung di sebuah bilik hotel di Pudu akhirnya ditumpaskan Polis Dang Wangi semalam.Ihsan PDRM Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Lepas samun sewa hotel bagi elak dikesan pihak berkuasa.

Itu modus operandi sekumpulan tiga suspek geng samun yang bergiat aktif di ibu kota namun taktik itu dikesan polis dan akhirnya mereka tumpas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kira-kira pukul 12.45 tengahari semalam pihaknya telah menyerbu sebuah bilik di hotel di Pudu di sini dan menahan ketiga-tiga suspek.

“Hasil pemeriksaan, kami telah merampas barang-barang seperti satu senjata tiruan menyerupai pistol, sebuah walkie talkie, sebatang cota besi, sebilah parang, empat bilah pedang samurai,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Senjata tiruan menyerupai pistol antara barang dirampas di bilik hotel di Pudu dan tiga suspek samun bermotosikal ditahan polis dalam serbuan semalam.Ihsan: PDRM Dang Wangi

Justeru kata Mohamad Zainal, polis turut merampas tiga cermin mata pelbagai jenama, tiga topi keledar, dua rangkai kunci motosikal, satu beg silang, lima buah telefon bimbit, empat kad ATM dan dua kad pengenalan MyKad dan satu I-kad warganegara asing.

Susulan daripada serbuan yang sama, polis turut merampas tiga buah motosikal iaitu jenis Honda RS 150 berwarna biru putih, jenis Yamaha Y15 berwarna hijau dan motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna merah hitam.

Hasil saringan mendapati ketiga-tiga suspek berusia 29 hingga 37 tahun itu dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kesemua ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 16 Januari untuk siasatan lanjut. Penangkapan tiga suspek berkenaan polis yakin berjaya menyelesaikan empat kes samun di sekitar daerah Dang Wangi,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua puluh tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahannya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-211 59999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.- MalaysiaGazette