Dr. Siti Mariah Mahmud

SHAH ALAM – Golongan miskin bandar di Selangor digesa memohon Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) sebelum Mac ini kerana masih terdapat 4,000 kuota lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pelbagai manfaat akan diterima oleh pemegang polisi berkenaan.

“Golongan B40 terutamanya miskin bandar diminta memohon di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN). Walaupun kuota DUN itu sudah penuh, mohon sahaja kerana ia akan dibawa ke pihak kami untuk dinilai.” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Setakat awal Januari ini, seramai 81,000 individu layak menerima SIPS termasuk 2,000 permohonan yang masih dalam proses.

Tambah Siti Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, penerima SIPS sebelum ini juga diminta mengemaskini maklumat diri di pusat khidmat DUN atau penyelaras bagi memastikan kebajikan ahli keluarga terpelihara.

SIPS merupakan bantuan kesihatan kepada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 dengan memperuntukkan bantuan pengebumian sebanyak RM1,000, perlindungan kemalangan diri (RM5,000), perlindungan penyakit kritikal (RM5,000) dan insurans nyawa (RM5,000). -MalaysiaGazette