Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kanan) bersama Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Ke-12 Bagi Sesi 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 12 JANUARI 2021.

KELANA JAYA – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan beliau sedia mempertahankan jawatan yang disandangnya itu pada Kongres FAM ke-57 pada 13 Mac ini.

Beliau berkata, keputusan untuk dicalonkan semula itu telah dimaklumkan kepada EXCO badan induk berkenaan dan ia dibuat selepas perbincangan bersama beberapa pihak termasuk keluarga dan rakan dalam arena bola sepak.

“Saya ingin memaklumkan, saya bersedia untuk dicalonkan sebagai calon presiden bagi tempoh (penggal) 2021-2025. Pencalonan akan bermula esok, saya sedia dicalonkan. Menang belum tahu, bersedia kalau ada yang nak calonkan saya.

“Saya ingat ada beberapa elemen, saya pun tak tahu orang suka atau tidak. Antaranya  masih banyak lagi misi saya yang belum selesai,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM kali ke-12 bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, di sini hari ini.

Hamidin dipilih sebagai presiden FAM bagi penggal 2018-2021 dalam Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai 2018.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi turut menawarkan diri untuk dicalonkan bagi mempertahankan jawatan disandangnya itu pada pemilihan pucuk pimpinan badan induk berkenaan.

“Memang EXCO sebulat suara menyokong Hamidin dicalonkan untuk penggal lagi satu. Jadi, saya pun menawarkan diri sekali lagi, kalau ada sokongan daripada ahli gabungan untuk saya bertanding jawatan timbalan presiden satu penggal lagi,” katanya. – MalaysiaGazette