Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau menegaskan, hukuman lebih berat akan dikenakan kepada pihak terbabit kerana kerajaan ketika ini bekerja keras menyelamatkan rakyat dari pandemik Covid-19 yang menunjukkan trend meningkat setiap hari.

“Saya tidak akan berkompromi dengan pihak ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih tegas,” katanya dalam Pengumuman Khas Darurat, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi ini, telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan pegawai tertinggi kerajaan semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat itu sehingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkait.

Jawatankuasa Bebas itu akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Muhyiddin berkata, Proklamasi Darurat yang diisytihar bukan satu bentuk rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung juga tidak dilaksanakan.

Bahkan, ujar beliau, jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan itu dengan ordinan darurat adalah untuk tingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Jika sepanjang tempoh darurat ini baginda puas hati ada hal tertentu perlu baginya untuk mengambil tindakan serta merta, baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan mengikut hal semasa.

“Dalam konteks ini beberapa ordinan darurat boleh dilaksanakan bagi tujuan membendung Covid-19 merangkumi hal berkaitan aset hospital swasta dan pengambilan tanah bagi tujuan itu,” katanya.

Menurut Muhyiddin, aspek keselamatan di sempadan negara juga diperketatkan dengan memberi kuasa kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan Imigresen untuk menguatkuasa kawalan.

Katanya, mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara, tindakan penguatkuasaan lebih tegas dan hukuman lebih berat boleh digunakan bagi tujuan itu. – MalaysiaGazette