Dr. Adham Baba

PUTRAJAYA – Semua menteri Kabinet telah menjalani ujian saringan COVID-19, dengan tiga daripadanya disahkan positif, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Tanpa mendedahkan nama mereka yang positif, Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memberi rawatan kepada mereka di fasiliti sedia ada.

“Semua yang kita uruskan untuk buat saringan COVID-19 telah dilakukan dan kita akan beri rawatan kepada tiga jemaah menteri yang disahkan positif COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Dilaporkan sebelum ini dua menteri Kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, telah disahkan positif COVID-19.

Ditanya sama ada menteri Kabinet yang negatif akan menjalani kuarantin, Dr Adham berkata, KKM akan membuat penilaian risiko terhadap anggota jemaah menteri sebelum mengeluarkan apa-apa arahan.

“Penilaian risiko akan dibuat oleh KKM bagi memastikan sama ada mereka ini perlu kuarantin atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast