Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Pelancaran Platform E-Dagang Produk Semulajadi & Herba (Herbee) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2021.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Malaysia tidak perlu melaksanakan Proklamasi Darurat buat masa ini.

Katanya, kerajaan sudah mempunyai cukup kuasa untuk menangani penularan Covid-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya.

Ini kerana pada beliau, rakyat negara ini amat patuh kepada arahan kerajaan berbanding negara-negara lain.

“Sebenarnya di waktu ini, tanpa darurat kerajaan cukup kuasa untuk menangani masalah Covid-19.

“Tidak ada kurang kuasa, kuasa cukup kerana di Malaysia ini rakyat kita patuh kepada kerajaan. Tidak seperti di Eropah, Amerika Syarikat yang mana rakyat bantah kalau ada sekatan apa-apa. Kalau ada lockdown mereka bantah.

“Tetapi di Malaysia suruh lockdown, kita lockdown. Suruh jangan bergerak, kita tidak bergerak, duduk di rumah.

“Ada yang cuba bangkang, tapi tindakan boleh diambil,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), hari ini.

Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan.

Ia sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 setalah setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pegawai tertinggi kerajaan semalam.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Istana Negara dalam satu kenyataan rasmi berkata, tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Justeru itu, Dr. Mahathir menuntut kerajaan agar menjelaskan keperluan bagi mengadakan Proklamasi Darurat buat masa ini.

“Pendapat saya kita boleh buat segala usaha untuk kurangkan perkembangan Covid-19. Sekarang ini ada darurat, saya tidak tahu lah apa makna darurat.

“Kita nak tunggu penjelasan daripada kerajaan,” katanya.

Dalam perutusan Muhyiddin hari ini, beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Bebas memperakukan bahawa Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya.

Ujar Muhyiddin, sebagai pemimpin negara beliau tidak boleh mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong memohon supaya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU ketika pandemik Covid-19 sedang melanda negara dan dunia. – MalaysiaGazette