Mayat warga emas yang dilaporkan hilang sejak 30 Disember lalu ditemui dalam bonet kereta Volvo pelanggan suspek kes di Taman Wawasan, Puchong baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Reman suspek kes warga emas dipercayai mati dibunuh dan ditemukan dalam but kereta di Taman Wawasan Puchong baru-baru ini disambung enam hari lagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek yang sebelum ini direman tujuh hari sehingga hari ini telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini untuk tujuan itu.

“Kami berjaya mendapatkan perintah sambung reman selama enam hari lagi sehingga 19 Januari ini untuk membantu polis melengkapkan siasatan,” katanya malam ini.

Tambah Nik Ezanee, kertas siasatan kes bunuh yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu sudah dilengkapkan pasukannya.

“Kita akan menghantar kertas siasatan yang telah dilengkapkan polis kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya esok untuk tindakan menuduh suspek di mahkamah.

“Kita serahkan kepada TPR meneliti dan mengeluarkan arahan lanjut (pendakwaan),” tegasnya lagi.

MalaysiaGazette pada 7 Januari lalu melaporkan seorang pemilik sebuah bengkel dan juga ahli perniagaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kehilangan dan penemuan mayat seorang warga emas di dalam but kereta Volvo model lama.

Nik Ezanee berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan oleh pasukan polis Negeri Sembilan pada 2 Januari lalu selepas laporan polis kehilangan diterima dari ahli keluarganya.

Katanya, suspek telah ditangkap Sabtu minggu lalu oleh polis Negeri Sembilan di sebuah pasaraya sebelum diserahkan kepada pasukan Polis Petaling Jaya di pekarangan IPD Jelebu untuk tindakan lanjut.

“Hasil soal siasat suspek telah membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan Taman Wawasan, Puchong di dalam bonet belakang kenderaan yang dinaiki mangsa pada 31 Disember lalu.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dan suspek ada berselisihan faham selepas mangsa tidak menerima bekalan tayar daripada suspek. Mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM500 untuk membeli tayar.

“Suspek bertindak mencekek leher warga emas itu sehingga dia tak sedar diri dan seterusnya menyimpan mayat dalam bonet kereta yang dinaiki mangsa,” katanya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mayat warga emas dalam but: Pemilik bengkel kereta direman tujuh hari