Gambar Hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan rel urban dan bas henti-henti kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tetap beroperasi daripada pukul 6 pagi setiap hari hingga tengah malam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula hari ini.

Ia membabitkan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Kuala Lumpur dan Selangor; Rapid Penang di Pulau Pinang dan Seberang Prai, Rapid Kamunting di bandar Taiping, Perak dan Rapid Kuantan di Pahang.

Menurut kenyataan Prasarana, perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel akan beroperasi seperti yang dijadualkan dengan masa menunggu antara 2.8 dan 7 minit, bergantung pada waktu puncaknya.

Penumpang diingatkan agar sentiasa patuh pada arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengamalkan norma baharu ketika menggunakan pengangkutan awam, ujarnya.

“Prasarana dalam pada itu menggalakkan pelanggan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada media sosial kendalian Prasarana,” katanya.

Para pengguna Rapid KL turut disarankan menggunakan aplikasi PULSE untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai perkhidmatan rel dan bas.

Aplikasi itu boleh dimuat-turun di Google Play dan Apple Store.-MalaysiaGazette