Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan kebimbangan berkenaan pengumuman Proklamasi Darurat oleh Kerajaan baru-baru ini yang bermula daripada 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Proklamasi Darurat yang dikeluarkan bagi membendung wabak Covid-19 tidak boleh dijustifikasikan memandangkan kerajaan baru sahaja melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan daripada 13 hingga 26 Januari 2021.

Menurutnya, Suhakam mengambil maklum terdapat peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa bulan ini, walau bagaimanapun, langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pematuhan yang ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh rakyat dilihat mencukupi untuk membendung penularan wabak tersebut.

Suhakam juga mengambil maklum bahawa dalam tempoh darurat, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan ditangguhkan (digantung) sehingga dimaklumkan kelak.

Namun, Suhakam menekankan bahawa Parlimen adalah institusi utama demokrasi dan merupakan badan yang diamanahkan dengan fungsi pengawasan bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rakyat.

”Melihat kepada pengumuman ini, Suhakam bimbang tentang ketiadaan semak imbang terhadap penumpuan kuasa eksekutif kerajaan sepanjang tempoh darurat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, Suhakam menggesa kerajaan agar mendukung tugas dan tanggungjawab mereka dalam menghormati kedaulatan undang-undang dan terus melindungi kebebasan asasi rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam usaha mengawal wabak ini.

Katanya lagi, darurat seharusnya berpandukan prinsip hak asasi manusia dan tidak patut digunakan untuk tujuan lain, selain daripada menangani wabak Covid-19.

Malah, Suhakam turut menyeru kerajaan untuk mengatur langkah-langkah yang efektif bagi menyokong pemenuhan hak ekonomi dan sosial rakyat terutamanya golongan rentan yang terjejas oleh darurat dan perintah kawalan pergerakan.

Langkah-langkah ini termasuk peruntukan sokongan kelangsungan hidup, makanan, pendidikan, perlindungan sosial dan
kesihatan, ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak perlu poyo sgt konon2 parlimen tu penting utk jaga rakyat. Tu semua alasan selindung matlamat politik shj. Sekarang nasib rakyat teruk kah? Wlpun ada sedikit kesan akibat Covid tp rasanya kerajaan dah cuba imbang dengan baik.
    Lupakah dulu semasa PH pegang. Parlimen ada saja bersidang tp janjibnak jaga rakyat, tak juga tercapai. Siap kena kencing lg. So, ada sesi parlimen atau tak, nasib rakyat hanya terbela jika rakyat sendiri dapat lihat dan rasa dengan mata kepalanya sendiri. Bukan berdsrkan perbahasan parlimen ada atau takda. Alasaaannnnnn korang saja tu.

Comments are closed.