ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR – Masih terdapat segelintir masyarakat yang ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula semalam.

Ini kerana polis Ibupejabat Polis Petaling Jaya dekat sini telah menahan seorang lelaki dan dua wanita asing yang didapati ingkar PKP.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ketiga-tiga suspek adalah berumur 39 hingga 55 tahun kerana menjalankan perniagaan refleksologi, yoga dan spa.

“Hasil serbuan mendapati mereka menjalankan perniagaan di Seksyen 16 di sini tanpa lesen yang sah serta melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa) Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1956/63, Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Undang-Undang Kecil 3 Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (MBPJ) 2007.

Dalam perkembangan lain, Nik Ezanee berkata,  polis turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun di Sekatan Jalan Raya (SJR) susur keluar plaza tol Kota Damansara kerana gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakannya pada waktu PKP.

Menurut beliau, suspek ditahan pukul 2.10 petang dan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa) dan Seksyen 22(b) APPPB 1988.

Sementara itu, tangkapan ketiga pada pukul 8.20 malam pada hari yang sama melibatkan seorang lelaki warga asing berumur 43 tahun di sebuah tapak penjaja tepi jalan SS2/60.

Kata beliau, suspek ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Manakala pemilik tapak penjaja berkenaan iaitu lelaki warga tempatan berusia 37 tahun serta dua wanita warga tempatan berusia 36 dan 65 tahun dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana beroperasi melebihi masa yang ditetapkan iaitu jam 6 pagi hingga 8 malam,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa), Seksyen 22(b) APPPB 1988 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.- MalaysiaGazette