Stuart Ramalingam.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan telah mengeluarkan  kenyataan kepada media bahawa Kelantan FC akan dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Premier musim ini sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemain pasukan berkenaan.

Sebaliknya, kenyataan tersebut yang ditulis dalam artikel yang disiarkan di sini: https://www.bernama.com/bm/sukan/news.php?id=1921827 merupakan rumusan yang dibuat sendiri oleh wartawan berkenaan dan bukannya dipetik daripada kenyataan sebenar daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Stuart langsung tidak menyatakan mengenai pemotongan mata terhadap Kelantan FC, seperti yang dilaporkan dalam artikel berkenaan.

Ini kerana Stuart telah mengelak untuk menjawab soalan berkenaan pemotongan mata itu supaya tidak mengeruhkan keadaan di antara KAFA dan Kelantan FC di peringkat domestik.

Sehubungan itu, FAM mengingatkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham agar tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial tanpa memeriksa ketepatan fakta tersebut terlebih dahulu dan cuba menyerang FAM dengan mengaitkan pula isu-isu yang tiada kena mengena dalam hal ini.

Perkara seperti ini boleh dielakkan daripada berlaku jika Norizam menghubungi terus Sekretariat Agung FAM untuk mendapatkan penjelasan atau pengesahan.

FAM juga akan mendapat penjelasan daripada Bernama yang mengeluarkan laporan itu atas sebab kandungannya yang boleh dianggap berlainan daripada jawapan yang diberi dalam temu ramah berkenaan. – MalaysiaGazette