Logo Maqis

PELABUHAN KLANG – Cubaan sebuah syarikat tempatan membawa masuk bawang merah dan kuning sejumlah 86,500 kilogram ke dalam negara dalam kontena besar berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarahnya, Dr. Tarmisal Alimin berkata, MAQIS berjaya membuat rampasan itu hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa di Pelabuhan Barat sekitar jam 11.30 pagi Selasa lalu.

Katanya, rampasan itu menyusul selepas mendapati syarikat tempatan itu gagal mematuhi syarat Sijil Perakuan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan) yang telah ditetapkan MAQIS Selangor.

“Kedua-dua kontena itu mengandungi 86,500 kg bawang merah dan kuning yang dianggarkan bernilai RM179,822.85.

“Barang dagangan (bawang merah dan kuning) dirampas kerana tidak mematuhi syarat seperti mana yang dinyatakan pada permit import MAQIS iaitu tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Tambah Tarmisal, kegagalan syarikat berkenaan mengemukakan maklumat itu adalah menjadi suatu kesalahan serius mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama,” tambah beliau.

Menurutnya, MAQIS mengambil serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan negara. – MalaysiaGazette