Gerakan Media Merdeka

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk menteri-menteri, agensi kerajaan pemimpin politik diseru agar tidak mengadakan sidang media secara fizkal sehinga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 tamat.

Seruan itu disuarakan oleh Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang menyifatkan usaha untuk mengekang penularan Covid-19 perlu pada waktu ini khususnya, selepas beberapa menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) yang telah dijangkiti wabak itu baru-baru ini.

“Untuk itu, Geramm meminta kerjasama dari semua pihak terlibat bagi sama-sama membantu mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19, terutama antara sumber berita dan pengamal media, juga sebaliknya,” kata Geramm menerusi kenyataan hari ini.

Sidang media masih boleh diadakan menerusi live stream manakala kenyataan pula tambah Geramm boleh dikongsikan kepada media.

“Sebagai ganti, pegawai bertugas boleh menyalurkan maklumat dalam bentuk kenyataan media, live stream, serta video, foto atau audio mengikut keperluan masing-masing.

“Perlu ditegaskan ini tidak bermakna maklumat harus dikongsi dalam bentuk format berita untuk siaran, kerana setiap organisasi media berhak menentukan ‘angle’ masing-masing,” kata Geramm.

Geramm juga selain itu turut memohon kerjasama pihak berkaitan khususnya jemaah menteri agar membuka ruang bagi media untuk meminta penjelasan atau komen atas sesuatu isu, tanpa perlu bertemu secara langsung di sidang media.-MalaysiaGazette