Geng pecah rumah, bangunan dan pejabat yang tumpas dengan tertangkapnya dua suspek termasuk wanita dan barang kecurian berjaya dirampas dalam empat tangkapan berlainan semalam.

KUALA LUMPUR – Tiga suspek kaki geng pecah rumah, kedai dan pejabat yang disyaki terlibat memecah masuk sebuah pusat kecantikan dan spa serta melarikan barang-barang dianggarkan bernilai RM32,000 ditangkap polis.

Bagaimanapun, suspek utama masih bebas dan sedang giat diburu polis, kata Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner, Anuar Omar hari ini.

Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2 Januari lalu jam lebih kurang 10.26 pagi, apabila satu laporan polis telah dibuat seorang wanita tempatan berusia 32 tahun berkenaan kes pecah kedai di Jalan Sri Hartamas.

Antara barang-barang yang hilang adalah tiga unit tool box barangan elektrikal jenama BOSCH dianggarkan bernilai RM2,700 dan tiga kotak barangan suntikan vitamin
kesihatan bernilai RM30,000.00 dengn jumlah kerugian dianggarkan bernilai lebih kurang RM32,700.00.

Bertindak atas maklumat polis berjaya melakukan empat tangkapan di empat lokasi berbeza dalam kes ini antara 8 Januari hingga 15 Januari lalu.

“Tangkapan pertama dibuat pada 8 Januari lalu jam lebih kurang 5.30 petang oleh
sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields yang telah menahan suspek pertama lelaki India Muslim berusia 38 tahun di Damansara, Selangor,” katanya dalam kenyataan kejayaan pagi ini.

Tambah beliau, suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau atas kesalahan penyalahgunaan dadah berbahaya, menyamar sebagai penjawat awam, curi kenderaan, curi dalam bangunan dan samun berkumpulan dan bersenjata api.

Katanya, polis telah berjaya merampas sebuah telefon bimbit bersama kad sim Celcom dan sekeping kad debit visa RHB bank daripadanya.

Menurut Anuar, hasil soal siasat awal, suspek tidak mengaku terlibat dengan kes yang disiasat dan menyatakan telah menyewakan kad visa RHB bank kepada seorang lagi suspek lelaki dikenali sebagai nama Ah Hoo dengan kadar sewaan RM1,200 sebelum dibebaskan pada pada semalam.

Pada 9 Januari lalu jam 6.53 pagi, pihaknya telah menahan suspek kedua berusia 35 tahun pula di Pekan Ayer Hitam, Kedah dan semakan ke atas suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau atas kesalahan penyalahgunaan dadah berbahaya, tipu, menyimpan barang curi dan lain-lain kesalahan penipuan.

“Soal siasat ke atas suspek mengaku terlibat dengan kes yang disiasat dan telah dituduh di mahkamah semalam di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyimpan barang curi.

“Bertindak atas maklumat suspek berkenaan, jam lebih kurang 12.10 pagi 15 Januari lalu, polis menangkap suspek ketiga iaitu seorang wanita tempatan berusia 33 tahun di Setapak,” katanya.

Pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui 20 jenis barangan.

“Pada hari yang sama sekitar jam lebih kurang 5.44 pagi, polis telah menjalankan
tangkapan ke atas suspek keempat iaitu lelaki tempatan berusia 46 tahun di Jalan Gombak, dan telah merampas dua buah alat penghawa dingin jenama Daikin,” katanya.

Anuar berkata, semakan mendapati suspek ketiga dan keempat, masing-masing mempunyai empat dan dua rekod jenayah lampau ketika soal siasat awal ke atas mereka  kedua-duanya tidak mengaku terlibat dengan kes pecah dan samun pusat kecantikan dan spa yang disiasat.

Tetapi suspek wanita itu berkata, barang-barang yang dirampas adalah hasil kegiatan jenayah pecah kedai yang dilakukan oleh teman lelakinya yang masih bebas.

Suspek keempat pula mengaku barang-barang yang dirampas adalah hasil kegiatan jenayah pecah kedai yang dilakukan oleh dua lelaki dikenali sebagai Ah Tiong dan Ah Boon.

“Suspek ketiga dan keempat itu kini direman di bawah peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 15 hingga 18 Januari ini bagi membantu siasatan kes, seorang suspek yang masih bebas sedang dipergiatkan pemburuannya,” katanya.-MalaysiaGazette