Seorang pekerja melakukan persiapan bagi kemasukan pesakit Covid-19 yang baharu dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2021.

SERDANG – Kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid- 19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Serdang (Maeps) telah ditingkatkan untuk menampung sehingga 10,000 pesakit mulai Isnin ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr.Adham Baba, penambahbaikan itu akan memberi manfaat kepada pesakit dikesan positif kategori satu dan dua yang ditempatkan untuk rawatan di PKRC ini dengan pembukaan sebuah dewan baharu.

“Dewan D1 berupaya menempatkan 1,400 pesakit lelaki dan wanita dalam kalangan rakyat tempatan atau seisi keluarga yang disahkan sebagai positif kategori satu dan dua.

“Kita menempatkan keluarga di sini agar dapat mengurangkan tekanan emosi dan mental dialaminya apabila dipisahkan daripada ahli keluarga,” kata beliau dalam sidang media selepas melawat ke PKRC 2.0 Maeps hari ini.

Tambah Adham, kemudahan di PKRC 2.0 cukup selesa, sekali gus mampu menyokong kadar penyembuhan pesakit.

Katanya, penempatan ini tidak akan menjejaskan pesakit lain kerana mereka yang ditempatkan di PKRC ini semuanya pesakit positif dan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Saya sudah meninjau persiapan hospital bersepadu itu dan mendapati ia amat kondusif dan munasabah untuk pesakit, tidak nampak sebarang kelemahan yang perlu ditimbulkan kerana persiapannya dirangka begitu teliti dan terkini.

“Oleh demikian saya mohon kerjasama para pesakit positif Covid-19 yang ditempatkan di Maeps ini supaya bersama-sama menjaga dan memastikan keadaan dan suasana terus kondusif dan selamat,” ujarnya.

Adham berkata, bilangan petugas yang akan ditempatkan di situ juga akan ditambah membabitkan semua agensi yang bertugas di sini, terutamanya KKM bagi memantau  pesakit.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hari ini ada 30ribu kes aktif, itu belum lagi yang terpaksa kuarantin sendiri dirumah walaupun sudah positifi. Rasanya kerajan perlu buat pusat kuarantin di setiap daerah atau kawasan seperti pusat permindahan banjir, supaya memberi pelajaran kepada penduduk di kawasan itu dan juga memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa, dimana bila pesakit yang mempunyai gejala yang teruk sahaja dibawa ke hospital.

Comments are closed.